Pages

Wednesday, April 21, 2010

Obama: Ikatan hubungan Amerika-Israel tidak boleh putus

WASHINGTON: Presiden Barack Obama, pada hari ulang tahun ke-62 Israel, semalam berkata Amerika Syarikat berkongsi satu 'ikatan perhubungan yang tidak boleh putus' dengan negara Yahudi itu dan beliau yakin perhubungan tersebut 'akan semakin kukuh' pada masa depan.

Meskipun terdapat ketegangan antara pentadbiran beliau dengan pemerintah Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pemimpin Amerika itu menekankan bahawa beliau 'amat berharap dapat meneruskan usaha-usaha kami dengan Israel bagi mencapai kedamaian dan keselamatan menyeluruh di rantau itu, termasuk satu penghuraian (diwujudkan) dua negara'.

Pada hari ulang tahun itu, Encik Obama, dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan Rumah Putih, berkata bahawa 'kami sekali lagi memberi penghormatan kepada pencapaian luar biasa rakyat Israel, dan persabahatan mereka yang mendalam dan setia kepada rakyat Amerika'.

Kelmarin, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, berkata Amerika 'tidak akan teragak-agak untuk melindungi keselamatan Israel dan memajukan masa depan Israel', sambil menekankan bahawa negara Yahudi itu kini sedang 'menghadapi beberapa cabaran terbesar dalam sejarahnya'.

Namun, kata beliau, negara tersebut masih mempunyai potensi besar untuk lebih maju.

Cik Clinton juga menekankan bahawa pada 1948, Presiden Harry Truman mengambil masa 11 minit untuk mengiktiraf sebuah negara Israel.

'Dan sejak itu Amerika telah berdiri bersama anda dalam perpaduan,' katanya.

Bagaimanapun, hubungan antara kedua-dua negara sekutu itu terjejas sedikit tahun ini.

Semasa satu lawatan Naib Presiden Amerika, Encik Joe Biden, ke negara Yahudi itu bulan lalu, para pegawai Israel mengumumkan rancangan untuk membina 1,600 rumah orang Yahudi di kawasan petempatannya di timur Baitul Makdis.

Cik Clinton kemudian menyifatkan langkah Israel itu sebagai 'menghina'.

Hanya beberapa hari lalu Cik Clinton menggesa Encik Netanyahu agar membuktikan komitmen beliau dalam mewujudkan sebuah negara Palestin, sambil memberi amaran bahawa konflik berpanjangan antara negara Yahudi itu dengan Palestin akan hanya mengukuhkan para pelampau. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini