Pages

Monday, April 19, 2010

Keadaan semakin runcing di Bangkok

BANGKOK: Suasana di ibu kota Thailand ini semakin meruncing.

Semalam, kumpulan 'Baju Kuning' yang disokong golongan elit Thailand pula berikrar akan mengambil tindakan jika kerajaan gagal menangani bantahan 'Baju Merah' yang antikerajaan.

Awal dari itu, pihak tentera Thai memberi amaran akan bertindak bagi 'menghukum' pembantah antikerajaan itu jika mereka terus berarak ke kawasan perniagaan pusat Bangkok.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku pertempuran antara dua kumpulan pesaing dan tindakan keras oleh tentera.

Kumpulan 'Baju Merah', yang menyokong mantan perdana menteri Thaksin Shinawatra, telah menduduki kawasan komersial Bangkok lebih sebulan, sehingga menyebabkan pertempuran dengan tentera hujung minggu lalu, mengakibatkan 25 orang mati.

Kumpulan 'Baju Kuning' pula, yang berdiam diri sejak pembantah 'Baju Merah' memulakan perhimpunan besar-besaran pertengahan bulan lalu dan menuntut pilihan raya baru diadakan segera, mengadakan satu mesyuarat di kalangan 3,000 hingga 5,000 penyokongnya semalam untuk membincangkan tindak balas terhadap krisis tersebut.

'Dalam masa tujuh hari, kami berharap kerajaan dapat menangani pengganas daripada Thaksin dengan segera. Jika tidak, kami akan menunjukkan suara kami bagi melindungi negara ini dan keluarga diraja,' kata Encik Parnthep Pourpongpan, jurucakap kumpulan itu, yang rasmi dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD).

'PAD akan menjalankan tugas kami menurut perlembagaan bagi mengekalkan negara ini dan pemerintahan berajanya,' kata beliau selepas mesyuarat itu.

Kumpulan 'Baju Kuning' pernah menjalankan bantahan besar-besaran pada 2008 hingga melumpuhkan operasi di dua lapangan terbang utama Bangkok. Ia berakhir selepas satu keputusan kontroversi mahkamah bagi menggulingkan kerajaan pimpinan sekutu Encik Thaksin, iaitu daripada membenarkan pilihan raya parlimen diadakan hingga menghasilkan kerajaan Thai sekarang.

Sementara itu, tentera Thai berikrar akan bertindak ke atas pembantah antikerajaan jika mereka meneruskan rancangan memasuki kawasan perniagaan utama Bangkok.

'Kami tidak akan membiarkan mereka ke mana-mana lagi,' kata jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd, tanpa menggunakan istilah 'tindakan keras'.

'Boleh dikatakan bahawa kita tidak mempunyai lagi sebarang pilihan kecuali melaksana undang-undang,' katanya kepada stesen televisyen TNN.

'Mereka yang membuat salah akan menerima hukumannya. Mengambil semula kawasan itu bersama langkah-langkah lain semuanya termasuk dalam melaksana undang-undang. Semua ini harus dilakukan,' ujarnya.

Beliau berkata angkatan keselamatan bersenjata akan dikerah untuk mengawal bangunan-bangunan tinggi di keliling kawasan bantahan bagi mencegah 'tangan ketiga', yang disifatkan kerajaan Thai sebagai pengganas, melancarkan serangan.

'Baju Merah' pula berkata mereka akan bertindak balas. -- AFP, Reuters.



No comments:

Posting Terkini