Pages

Tuesday, February 22, 2011

RM52 bilion saham bumiputera lesap


PETALING JAYA: KEADILAN menggesa Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Datuk Mustapa Mohamad mengumumkan senarai 1.5 bilion penerima saham khas bumiputera yang diagihkan  kerajaan tahun lalu.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkaya, KEADILAN melahirkan kebimbangan terhadap pengurusan agihan saham khas bumiputera yang menyebabkan sejumlah RM52 bilion daripada RM54 bilion saham  lesap.
“Pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 1.5 bilion saham dari 18 tawaran awam permulaan diagihkan, kononnya kepada pelabur Bumiputra.

“Tahun 2010 juga menyaksikan apungan saham yang terbesar, termasuklah yang melibatkan Petronas Chemical Group Berhad pada harga tawaran RM5.05 setiap saham dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holding Berhad pada harga tawaran RM3.61 setiap saham,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan media.
Beliau mengulas kenyataan  Mustapa Mohamad mengenai pengagihan saham khas berkenaan dan dakwaannya yang menyatakan bahawa kerajaan Umno-BN telah berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra dalam sektor swasta ke aras 22 peratus.
Menurut Saifuddin, jika sebahagian besar dari 1.5 bilion saham yang diagihkan kepada pelabur Bumiputra itu datangnya dari saham-saham syarikat Petronas tersebut, bermakna saham yang bernilai berbilion ringgit itu diagihkan kepada pelabur-pelabur yang berselindung di ‘sebalik’ nama Bumiputra.
“Mekanisme agihan inilah yang telah gagal sebelum ini hingga mewujudkan budaya politik naungan yang mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai sasaran 30% ekuiti Bumiputra.
“Akhirnya, berpuluh-puluh bilion ringgit saham yang diagihkan kepada individu-individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapatkan kekayaan mudah, lalu mewujudkan golongan elit kaya Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbanyak,” ujar Saifuddin.
Justeru itu katanya, KEADILAN menggesa Datuk Mustapa sebagai menteri yang bertanggungjawab mengumumkan sepenuhnya penerima saham berkenaan dan mekanisme bagi sistem agihan  yang lebih baik bagi mengelak penyelewengan.
Katanya, isu itu juga akan dibawa pada sesi parlimen akan datang bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban kementerian terbabit.

No comments:

Posting Terkini