Pages

Saturday, April 3, 2010

Gerabak khas bagi wanita

KUALA LUMPUR: Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang menyediakan gerabak khas bagi penumpang wanita yang menaiki KTM Komuter dalam usaha membasmi gangguan seksual ketika dalam keadaan bersesak.

Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan, berkata pihaknya bercadang menyediakan gerabak berkenaan selepas mengambil kira beberapa permintaan dan aduan penumpang wanita yang bimbang dengan gangguan seksual.

Beliau berkata, pihaknya mahu memberikan keselesaan dan keselamatan kepada penumpang wanita selain menjadikan negara maju seperti Jepun dan sebahagian Eropah sebagai contoh kerana turut menyediakan gerabak khas penumpang wanita.

'Melalui kajian yang kami jalankan, penumpang KTM Komuter adalah ramai wanita iaitu kira-kira 60 peratus berbanding lelaki,' katanya di sini kelmarin.

Sehubungan itu, pihaknya kini sedang mengambil kira penyelesaian bagi masalah logistik serta dalam proses menambah bilangan gerabak supaya dapat menyediakan gerabak khas itu tanpa mengganggu keperluan penumpang lain.

Katanya, cadangan itu turut membabitkan penyediaan gerabak khas bagi golongan lelaki, warga emas dan keluarga supaya setiap penumpang berasa selesa dalam perjalanan mereka ke destinasi masing-masing. -- Harian Metro.


No comments:

Posting Terkini