Pages

Sunday, January 17, 2010

Kertas Putih YBK Akhir Januari

Kertas Putih bersabit Yayasan Basmi kemiskinan yang bakal diterbitkan oleh kerajaan negeri Selangor akan memperinci status segala peruntukan dan hartanah yang disalurkan kepada badan itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan itu akan disiapkan dalam tempoh dua minggu lagi untuk membolehkan rakyat menilai pengurusan YBK dalam mengendalikan bantuan berjuta-juta ringgit yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Walaupun menerima dana dan hartanah yang begitu besar dari Selangor, YBK setakat ini enggan memberi peranan yang sewajarnya kepada kerajaan negeri untuk melindungi kepentingannya.

Malah badan itu juga tidak mengemukakan maklumat penuh kepada kerajaan negeri mengenai status bantuan yang telah disalurkan.

Antaranya tanah 1,300 ekar di Serendah bernilai 78 juta ringgit yang seharusnya dimanfaatkan untuk golongan miskin tetapi masih belum dibangunkan.

YBK meminta kerajaan negeri menukar status tanah itu untuk tujuan projek perumahan dan komersil namun tidak membayar sebarang cukai asas atas tanah itu sejak 2001.

Ketidaktelusan YBK memaksa kerajaan negeri bertindak untuk mengeluarkan dokumen rasmi bagi memberikan gambaran tepat kepada rakyat mengenai bantuan yang disalurkan kepada badan itu.

“ Kita kerajaan negeri telah menyatakan bahawa sebelum akhir bulan Januari, kita akan mengumpulkan segala maklumat mengenai sumbangan kerajaan negeri kepada kewujudan YBK” ujar Khalid.

Sebelum ini, Khalid mengumumkan kerajaan negeri membekukan segala peruntukan kepada YBK berikutan kegagalan yayasan itu menjalankan amanah yang diberikan.

Khalid berkata kertas putih itu yang bakal dii terbitkan kerajaan negeri penting untuk menjelaskan peranan kerajaan negeri dalam membela golongan miskin.

“ Ini untuk menunjukkan kepada kerajaan negeri Selangor bahawa apakah yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam usaha menerima hakikat bahawa Yayasan Basmi Kemiskinan, adalah bertujuan selari dengan konsep kerajaan negeri ialah membasmi kemiskinan dan meningkatkan keupayaan mereka-mereka yang miskin" katanya lagi.

Khalid ditemui media selepas menghadiri program reben kedamaian, keharmonian dan kasih sayang di Kompleks membeli belah di Damansara Utama.

No comments:

Posting Terkini