Pages

Monday, December 21, 2009

Pemberontak Somalia arah lelaki simpan janggut

MOGADISHU: Kumpulan pemberontak tegar di Somalia, Al-Shabaab, kelmarin mengarahkan semua orang lelaki menyimpan janggut, mencukur misai dan memakai seluar ke atas dari buku lali.

Inilah kali pertama di Somalia, kumpulan Al-Shabaab, yang mahu menguatkuasakan undang-undang Syariah, memberi tumpuan kepada kaum lelaki.

Ini kerana sebelum ini mereka mengarahkan kaum wanita berpakaian menutupi seluruh tubuh dan melarang wanita memakai coli.

'Kami arahkan semua lelaki di Kismayu supaya jangan mencukur janggut tetapi cukurlah misai,' kata Sheikh Ibrahim Garweyn, seorang pegawai kanan Al Shabaab, kepada pemberita.

'Kami tak akan biarkan lelaki menyimpan misai dan janggut yang panjang. Mereka mempunyai masa selama tiga hari untuk mematuhi perintah,' katanya lagi.

Kumpulan Al-Shabaab, yang dituduh Washington sebagai proksi Al-Qaeda, sudahpun melarang nada lagu deringan telefon, tari menari di majlis perkahwinan dan menonton atau bermain bola sepak.

Al-Shabaab sejauh ini sudah melaksanakan hukuman mati, sebat dan memotong tangan bagi menguatkuasakan pentadbiran, terutama di Kismayu.

Kumpulan pemberontak itu sedang berusaha untuk menjatuhkan pemerintah Mogadishu yang dipimpin Presiden Sheikh Sharif Ahmed, dan terlibat dalam pertempuran dengan satu lagi militia, iaitu Hizbul Islam, di wilayah lain.

Al-Shabaab juga mengarahkan kaum lelaki memakai seluar ke atas daripada buku lali.

'Mereka diberi masa 15 hari agar mematuhi arahan ini,' kata Sheikh Garweyn.

Keganasan yang dikaitkan dengan kumpulan pemberontak tegar telah mengorbankan lebih 19,000 orang awam, dan seiktar 1 juta menjadi pelarian.

Ketiadaan pemerintah pusat sejak 1991 menyebabkan lanun berleluasa di perairan Somalia dan mencetus kebimbangan di rantau itu.

Dalam perkembangan berasingan kelmarin, pertempuran antara militia Al-Shabaab dengann Hizbul Islam dekat Dhobley, berhampiran sempadan Kenya, menyebabkan enam orang terbunuh.

Menurut penduduk, dua anggota Al Shabaab dan empat anggota Hizbul Islam terbunuh dalam pertempuran itu. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini