Pages

Monday, December 21, 2009

Pakar patologi Israel mengaku ambil organ dari mayat rakyat Palestin

RAMALLAH (Tebing Barat): Ketua pakar patologi Israel, yang juga pengarah Institut Perubatan Forensik di Abu Kabir, Profesor Yehuda Hiss, mengaku mengambil organ daripada mayat rakyat Palestin tanpa kebenaran keluarga mereka.

Profesor Hiss berkata beliau dan para doktor di bawahnya mengambil organ termasuk kulit, kornea mata dan injap jantung pada tahun 1990-an bagi tujuan pemindahan.

Beliau mengaku organ yang serupa diambil daripada mayat rakyat Israel bagi tujuan yang sama.

Encik Hiss membuat kenyataan itu dalam satu wawancara dengan Cik Nancy Sheppard-Hughes, seorang profesor antropologi di University of California-Berkeley yang menjejaki perdagangan organ di seluruh dunia.

Wawancara selama sejam itu direkodkan pada 2000 sebagai sebahagian daripada kajian Cik Sheppard-Hughes di Abu Kabir dan disiarkan menerusi televisyen Israel, malam Sabtu lalu.

Laporan itu berkata Cik Sheppard-Hughes memutuskan untuk menyiarkan wawancara tersebut selepas akhbar Sweden, Aftonbladet, melaporkan Ogos lalu bahawa askar Israel membunuh rakyat Palestin untuk menjual organ mereka.

Pakar patologi Israel itu berkata, 'Kulit diambil daripada mayat mangsa dan dipindahkan ke Hospital Hadasah di Baitulmakdis atas permintaan tentera Israel untuk dipindahkan kepada askar Israel yang cedera atau terlibat dalam bencana.'

Cik Sheppard-Hughes berkata pengambilan organ 'bukan saja daripada mayat rakyat Palestin atau pengganas, tetapi daripada semua orang.'

'Mereka mengambil organ daripada penduduk yang dianggap musuh, bagi kegunaan tentera,' tegas beliau.

Ogos lalu, akhbar Aftonbladet menukil rakyat Palestin sebagai berkata bahawa para pemuda ditangkap askar Israel dari Tebing Barat dan Jaluran Gaza dan mayat mereka dikembalikan dengan organ utamanya telah hilang.

'Anak-anak kami digunakan sebagai penderma organ secara paksa,' saudara Khaled dari Nablus memberitahu saya, kata penulis laporan, Encik Donald Bostr'm.

Keterangan yang sama diperolehi daripada ibu Ra'ed dari Jenin, dan bapa saudara Mahmoud dan Nafez dari Gaza.

Mereka semua menghilang selama beberapa hari kemudian dikembalikan sudah jadi mayat dan sudah dibedah siasat. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini