Pages

Thursday, December 3, 2009

Jawatankuasa khas bincang perjanjian minyak Kelantan

KUALA LUMPUR: Pas mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan di peringkat Parlimen bagi membolehkan perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 antara Kerajaan Pusat dan Kelantan dikaji semula.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata jawatankuasa itu perlu ditubuhkan bagi membolehkan terma dan syarat perjanjian dapat disemak dan dibahaskan supaya tidak disalahguna oleh mana-mana pihak.

"Saya akan hantar cadangan ini esok, mengikut usul di bawah peraturan mesyuarat. Saya masukkan usul ini kerana sudah sampai masanya terma-terma perjanjian itu mesti dilihat semula," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya telah menggunakan pelbagai cara untuk menuntut royalti tersebut, tetapi kerajaan tetap bertegas mengatakan Kelantan tidak berhak atas tuntutan itu.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mengesa kerajaan mengaturkan satu wacana intelektual membabitkan kerajaan pusat dan wakil kerajaan Kelantan dengan menjemput bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Pengerusi Petronas yang pertama dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas sebagai anggota panel.

Mahfuz yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena berkata, dengan penglibatan kedua-dua individu penting yang terlibat secara langsung dalam perjanjian itu, semua pihak dapat mendengar hujah dan pandangan dari sudut intelektual berhubung perjanjian itu.

- Bernama

No comments:

Posting Terkini