Pages

Wednesday, November 18, 2009

Duta Besar Thai diizin lawat pengintip

BANGKOK: Duta Besar Thailand ke Kemboja, Encik Chalotorn Paowiboon, semalam diizin buat pertama kali melawat warganya yang ditahan atas tuduhan mengintip, kata Setiausaha Kementerian Luar, Encik Chawanond Intarakomalyasut, kepada stesen televisyen Thai, Channel 9.

Siwarak Chothipong, 31 tahun, seorang jurutera Cambodia Air Traffic Services (CATS) ditahan Khamis lalu atas tuduhan mengintip, kata pendakwa Mahkamah Perabandaran Phnom Penh.

Dia dikatakan membekalkan butir terperinci jadual penerbangan mantan Perdana Menteri Thai, Encik Thaksin Shinawatra, yang melawat Kemboja, kepada kedutaan Thai di negara itu.

Siwarak dituduh menyalin dokumen penerbangan Encik Thaksin di Kemboja dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, daripada CATS, yang mengawal semua penerbangan ke negara itu.

Dia kemudian menghantar laporan itu kepada Thailand, lapor akhbar berbahasa Khmer, Rasmei Kampuchea.

Penahanan Siwarak memburukkan lagi pertikaian antara kedua-dua negara jiran itu ekoran langkah Encik Hun Sen melantik Encik Thaksin sebagai penasihat ekonominya, selain keengganan Phnom Penh mengesktradisinya.

'Kuasa usaha Thailand dan tiga hingga empat pegawai kedutaan sedang melawat Siwarak di penjara dan melaporkan bahawa dia berada dalam keadaan baik dan selamat.

'Dia (Siwarak) memberitahu para diplomat bahawa dia diberi layanan baik. Kami bertanya mengenai butiran kes, dakwaan terhadapnya, bagaimana kami boleh membelanya dan siapa yang patut dilantik sebagai peguam,' tambah Encik Chavanond kepada pemberita di Bangkok.

Siwarak juga dibenarkan buat pertama kali bercakap dengan ibunya di Thailand menerusi telefon.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Thailand, Encik Pirapan Salirathavibhaga, semalam melawat sempadan dengan Kemboja dalam usaha meredakan kebimbangan berlakunya pertempuran baru.

'Tidak ada kebimbangan meletus pertempuran antara kedua- dua negara,' kata Encik Encik Pirapanhere selepas bercakap dengan panglima tentera di wilayah Sisaket yang bersempadan dengan Kemboja, tempat berlaku pertempuran sepanjang dua tahun yang lalu. -- AFP, Bloomberg.

No comments:

Posting Terkini