KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Petronas, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas perlu diberi peluang untuk menjelaskan isu royalti minyak seperti yang termaktub dalam Fasal 4 dalam Akta 144 Kemajuan Petroleum (PDA) 1974.
Ahli Parlimen Kuala Selangor dari Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua individu yang bertanggungjawab menggubal Akta Petroleum Negara itu masih hidup untuk menjelaskan perkara sebenar perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri Persekutuan Malaysia.
“Kita wajar mendengar pandangan dari mereka tujuan dan matlamat penubuhan akta tersebut dan perkara ini seharusnya dibawa semula dibahaskan di Dewan Rakyat.
“Sebagai contoh, Tengku Razaleigh sudah memberi pendirian bahawa beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik tetapi mengutamakan kepentingan rakyat secara keseluruhan. Oleh itu, Kerajaan Pusat dan Petronas hendaklah menghormati pendirian ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Sementara itu Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan mengaturkan satu wacana intelektual membabitkan Kerajaan Pusat dan wakil Kerajaan Kelantan dengan menjemput Tengku Razaleigh dan Salleh Abbas sebagai anggota panel.
Mahfuz berkata, dengan penglibatan kedua-dua individu penting yang terlibat secara langsung dalam perjanjian itu, semua pihak dapat mendengar hujah dan pandangan dari sudut intelektual berhubung perjanjian itu.
Seorang lagi Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan di peringkat Parlimen bagi membolehkan perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 antara Kerajaan Pusat dan Kelantan dikaji semula.
Katanya, jawatankuasa itu perlu ditubuhkan bagi membolehkan terma dan syarat perjanjian dapat disemak dan dibahaskan supaya tidak disalah guna oleh mana-mana pihak.
“Saya akan hantar cadangan ini esok (hari ini), mengikut usul di bawah peraturan mesyuarat. Saya masukkan usul ini kerana sudah sampai masanya terma-terma perjanjian itu mesti dilihat semula,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya telah menggunakan pelbagai cara untuk menuntut royalti tersebut, tetapi kerajaan tetap bertegas mengatakan Kelantan tidak berhak atas tuntutan itu.
Sumber: Sinar Harian
Friday, December 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment