Pages

Monday, December 21, 2009

Askar Iran undur dari telaga minyak

BAGHDAD: Askar Iran telah berundur dari sebuah telaga minyak yang dipertikaikan dengan Iraq dekat sempadan kedua-dua negara, kata seorang jurucakap pemerintah Iraq di wilayah Maysan, semalam.

Langkah itu sekali gus meredakan kebimbangan akan berlaku konflik baru antara kedua-dua negara.

'Askar Iran telah berundur lewat malam tadi dari telaga minyak nombor 4 di Fakkah. Mereka telah menurunkan bendera mereka, sedang askar Iraq kembali ke telaga itu dan menaikkan bendera Iraq,' kata Encik Maytham Lafta, ketua jawatankuasa pertahanan dan keselamatan majlis perbandaran Maysan.

Jurucakap pemerintah Iraq, Encik Ali al-Dabbagh, berkata sejumlah askar Iran yang mengambil alih telaga minyak terpencil di sempadan Iran-Iraq minggu lepas tidak lagi menguasai telaga itu yang dianggap Iraq sebagai sebahagian daripada telaga Fakkah.

'Bendera Iran sudah diturunkan. Askar Iran telah berundur 50 meter tetapi mereka belum beredar ke tempat asal mereka sebelum ini. Pemerintah Iraq meminta askar kembali ke tempat asal mereka,' tegas Encik Dabbagh said.

Encik Dabbagh berkata satu jawatankuasa bersama akan mula meneliti langkah menetapkan sempadan di kawasan gurun di tenggara Baghdad.

Dalam satu perbualan telefon petang kelmarin, Menteri Luar Iran, Encik Manouchehr Mottaki, dan rakan sejawatan dari Iraq, Encik Hoshiyar Zebari, menggariskan peri perlunya diadakan satu mesyuarat 'bagi menguatkuasakan perjanjian dua hala mengenai sempadan,' lapor stesen televisyen Iran, IRIB.

Telaga No. 4 itu terletak di kawasan dipertikaikan kira-kira 100 meter dari sempadan Iran, kata para pegawai Iraq. Iran mendakwa telaga itu berada dalam wilayahnya.

Awal dari itu, Encik Mayssam Lafta, ketua keselamatan dan pertahanan wilayah Maysan, tempat terletaknya telaga minyak itu, berkata askar Iran sudah beredar dari kemudahan itu.

'Askar Iran telah beredar malam tadi dan para pekerja syarikat minyak telah kembali ke telaga itu hari ini (Ahad),' kata beliau.

Jumaat lalu, syarikat milik pemerinta Iraq, South Oil Co, di bandar Amara, ibu kota wilayah Maysan, berkata seramai 12 askar Iran dan juruteknik tiba dan mengambil alih Telaga No. 4 dan menaikkan bendera Iran.

Ini adalah insiden pertama berlaku antara kedua-sua negara sejak Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iraq pada 2003, untuk menggulingkan presiden Saddam Hussein, yang pernah berperang dengan Iran dari 1980 hingga 1988. -- AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini