PETALING JAYA, Dis 21 — Umno menyifatkan konvensyen sulung Pakatan Rakyat kelmarin tidak lebih daripada usaha alternatif pihaknya untuk menafikan kemelut yang wujud di kalangan ketiga-tiga komponennya sejak Mac 2008.
Malah Umno juga mendakwa harapan untuk Pakatan Rakyat mengekalkan kawasan dan negeri yang dimenangi mereka pada Mac 2008 adalah nipis kerana rakyat menolak perjuangan yang dianggap satu penipuan.
Sehubungan itu, parti dominan Barisan Nasional ini mempersoalkan “apa lagi sandiwara mereka seterusnya” selepas gagal menggunakan kesempatan mentadbir lima negeri menerusi kemenangan dalam pilihan raya umum lalu.
“... hasilnya tidak satu pun keputusan dicapai memperakukan perjuangan mereka terutamanya dalam perkembangan kemajuan dan pembangunan. Lantas, apa lagi sandiwara mereka seterusnya?” kata parti itu dalam tulisan di Umno Online.
Sejajar dengan ini, kata Umno, apa yang menjadi persoalan ialah setelah hampir dua tahun pilihan raya umum berlangsung dan setelah sekian lama ketiga-tiga parti tersebut bersekutu, ternyata mereka baru sahaja sedar bahawa perancangan masa depan amat penting apatah lagi atas kebersamaan dalam memahami aspirasi rakyat.
“Namun demikian, bagaimana mungkin ia mahu direalisasikan sedangkan sejak awal lagi pakatan pembangkang tersebut lebih cenderung menumpukan perhatian mereka terhadap cubaan untuk menggagalkan perancangan kerajaan daripada menumpukan kepada tanggungjawab dan amanah yang telah dberikan oleh rakyat.
“Pastinya, ramai ahli dalam pakatan pembangkang tersebut sedar bahawa segala janji-janji yang diluahkan ketika penggabungan antara tiga parti PAS, DAP dan PKR yang bertentangan idealogi semasa mahu menghadapi pilihan raya umum lalu hanya palsu belaka.
“Lantas apabila mereka terjerat dengan kemelut dan terperangkap dalam kata-kata serta propaganda yang diwujudkan, maka alternatif lain dicari termasuklah mengadakan konvensyen tersebut,” kata Umno lagi.
Konvensyen pertama itu meluluskan Dasar Pakatan Rakyat yang berteraskan empat prinsip. Ia ditandatangani oleh DAP-PAS-PKR.
Dalam hal ini, Umno berkata, terbukti pihaknya lebih terbuka dalam menangani pelbagai krisis termasuklah masalah dalamannya tanpa perlu menuding jari kepada pihak lain sebagaimana yang sering dilakukan oleh pihak pembangkang.
Lebih dari itu, kematangan Umno menghadapi kemelut politik juga terserlah apabila tidak pernah gentar berdepan dengan masalah sebaliknya menanganinya dengan kewarasan termasuklah berani membuat perubahan, melakukan rombakan dan membuat penilaian ke atas para pemimpin di dalamnya sendiri, kata parti itu lagi.
Sesungguhnya hal sedemikian diguna pakai oleh semua Presiden Umno terdahulu sehingga kepada pentadbiran Presiden kini yang merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tambah parti itu.
Ia menambah parti-parti pembangkang gagal memainkan fungsi untuk turut serta menyumbang dalam menjana pembangunan negara, malah perjuangan mereka tidak menepati situasi masyarakat tempatan apabila peranan mereka ditolak kerana dianggap ketinggalan.
“Melihat kepada perkembangan terkini khususnya di negeri-negeri yang diterajui oleh pakatan pembangkang menyaksikan bahawa, harapan untuk pembangkang mengekalkan tapak mereka di kawasan tersebut adalah nipis memandangkan rakyat menolak perjuangan mereka yang dianggap satu penipuan.
“Apa yang dapat dilihat, pakatan campuran menjadikan Barisan Nasional sebagai model, pembangkang cuba meniru konsep perkongsian kuasa itu.
“BN, terbukti berjaya menjadi satu entiti yang membawa kepada kesejahteraan rakyat, kemajuan dan kemakmuran negara, tetapi bagaimana pula penubuhan pakatan pembangkang yang mereka gelarkan sebagai Pakatan Rakyat?’ kata Umno lagi. - MalaysianInsider
Monday, December 21, 2009
Umno dakwa konvensyen sulung bukti PR baru ‘sedar diri’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment