Pages

Thursday, November 19, 2009

Switzerland tak izin laungan azan

GENEVA: Presiden Switzerland, Encik Hans-Rudolf Merz, kelmarin memberitahu para pengundi bahawa laungan azan tidak akan dibenarkan di Switzerland, sewaktu beliau berkempen menentang satu pungutan suara bertujuan melarang pembinaan menara masjid.

'Orang Islam patut dibenarkan mengamalkan ajaran agama mereka dan boleh membina menara masjid di Switzerland. Tetapi laungan azan tidak akan dibenarkan di sini,' kata Encik Merz dalam satu siaran video ke seluruh negara.

Rakyat Switzerland akan keluar mengundi pada 29 November ini berhubung usul yang dilancarkan kumpulan sayap kanan untuk melarang pembinaan menara masjid.

Usul itu disokong parti politik terbesar di negara itu, yakni Parti Rakyat Switzerland (SVP).

Pemerintah Switzerland dan parti politik utama di negara itu menentang langkah hendak mengharamkan menara masjid.

Selasa lalu, Encik Merz mengulangi pendirian pemerintah dan menggesa penduduk agar 'menolak usul Parti Rakyat Switzerland yang membantah pembinaan menara masjid'.

'Setiap agama mempunyai seni binanya yang tersendiri, sama ada gereja, saumaah atau menara masjid,' tambah beliau.

'Dari situ, saya melihat gambaran kepelbagaian masyarakat kita. Switzerland menjamin kebebasan beragama.

'Kita hidup dalam satu masyarakat berbilang budaya dan terbuka. Semua penganut agama, termasuk orang Islam, harus dibenarkan mengamalkan ajaran agama masing-masing,' tegas beliau.

Pemerintah berkata undang-undang perancangan yang sedia ada sudah mencukupi bagi memastikan peraturan bangunan setempat dihormati.

Sementara itu, satu rang undang-undang mencegah bunyi bising yang keterlaluan boleh digunakan supaya laungan azan dihentikan.

Satu tinjauan pendapat yang disiarkan awal bulan lepas oleh akhbar Tages-Anzeiger menunjukkan bahawa lebih 51 peratus pengundi akan menolak larangan itu, manakala hampir 35 peratus menyokongnya.

Berdasarkan perangkaan terbaru dari Bern, terdapat sekitar 400,000 orang Islam di Switzerland di kalangan 7.5 juta penduduk negara itu. -- AFP.

1 comment:

Anonymous said...

bersyukurlah dengan kerajaan Malaysia, masih mampu untuk kita beramal ibadat dengan tenang, berbanding negara lain..apa yang kita nak lagi..sejauh mana canggih dan cantiknya negara orang..bagus lagi negara sendiri..hidup Malaysia

Posting Terkini