LANGKAWI, 5 Okt-- Pasukan kapal layar "Zuhrah" dan "Zuhal" milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba awal dua bulan di sini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) yang akan berlangsung pada 8 hingga 15 Jan 2010.
Pengerusi persatuan perahu layar TLDM, Kapt Mohd Halim Saad berkata kedua-dua kapal milik TLDM itu mula belayar dari Pangkalan TLDM Lumut pada 2 Okt lepas dan kini menjalani latihan persahabatan di Kelab Pelayaran Diraja Langkawi (RLYC).
"Penghantaran awal dua kapal layar milik TLDM bertujuan untuk memberi lebih kemahiran dan persediaan kepada anak kapal tentang laluan perlumbaan dan keadaan angin yang bakal mereka hadapi pada hari kejohanan nanti," katanya kepada Bernama di sini Isnin.
Beliau berkata misi utama persatuan perahu layar TLDM pada RLIR 2010 adalah merampas kembali gelaran juara bagi acara sportboat yang pernah dimenangi oleh kapal layar Zuhal pada edisi 2006.
"Saya berpuas hati dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dan tidak mustahil untuk kapal layar Zuhal atau kapal layar Zuhrah untuk mendapat kedudukan yang lebih baik pada RLIR edisi 2010 nanti," katanya.
Pada RLIR edisi 2009, kapal layar Quantum Racing dari Australia menjuarai acara perlumbaan bagi acara tersebut.
Mohd Halim berkata bagi membolehkan kapal layar milik TLDM sama ada kapal layar Zuhar ataupun Zuhrah mendapat peluang kemenangan yang lebih tinggi, pihaknya membuat keputusaan hanya menyertai pelumbaan Kelas 3 (IRC 3) pada edisi RLIR 2010 nanti.
Beliau berkata kurangnya pendedahan perlumbaan regatta menjadi faktor pasukan kapal layar TLDM gagal menunjukan kecemerlangan.
"Di Malaysia kita hanya ada dua kejohanan yang layak disertai oleh kedua-dua kapal layar kita (kapal layar Zuhar dan kapal layar Zuhrah) iaitu RLIR dan Kejohanan Regatta Raja Muda Selangor (RMSIR) berbanding enam hingga sembilan kejohanan setahun yang dsertai oleh pasukan kapal layar profesional lain," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment