SHAH ALAM, 9 Oktober - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedia membantu memulihkan akidah pengikut-pengikut Abdul Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya “Rasul Melayu”.
Pengarahnya, Dato Mohammed Khusrin Munawi berkata, Jais kini dalam proses mendapatkan senarai pengikut Abdul Kahar dan akan mengadakan satu majlis khas, jika mereka benar-benar serius untuk kembali ke pangkal jalan.
“Berkaitan pengikut-pengikutnya, kita sedang mendapatkan senarai nama mereka-mereka yang terlibat, kita akan panggil dan kita merancang sekiranya beliau serius untuk bertaubat, kita akan mengadakan satu majlis khas untuk mereka dan selepas itu kita akan buat follow up untuk memulihkan akidah mereka,” katanya
Datuk Khusrin berkata demikian kepada media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jais, Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Mufti Selangor di Shah Alam, petang tadi.
Bagaimanapun, katanya, program pemulihan akidah itu bergantung kepada kerjasama daripada pengikut “Rasul Melayu” itu dan kesediaan mereka untuk bertaubat secara terbuka di hadapan khalayak ramai.
“Itu bergantung kepada kerjasama mereka, sebelum ni pun kita pernah buat macam ni, kita panggil dia buat taubat terbuka depan khalayak ramai, lepas tu kita pulihkan akidah mereka.
“Jadi ini bergantung kepada pengikut-pengikut Abdul Kahar, kalau betul-betul serius bertaubat, kita sanggup bantu, tapi kalau mereka tidak mahu bekerjasama dengan kita, memang payah sikit la,” kata Datuk Khusrin.
Datuk Khusrin berkata, Jais mempunyai pusat-pusat latihan akidah di Baitulmal yang mengandungi modul-modul pemulihan akidah bagi umat Islam yang terpesong.
Pengikut-pengikut Abdul Kahar diharapkan agar kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. katanya.
Awal minggu ini, Abdul Kahar mengaku bersalah dan bertaubat di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana membawa ajaran yang terkeluar dari akidah dan berjanji akan bertaubat serta memulihkan akidah pengikut-pengikutnya.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment