SABAK BERNAM (Selangor): Perkahwinan tiga generasi yang menyaksikan datuk, anak dan cucu bersanding serentak dengan pasangan masing-masing berlangsung meriah di Kampung Sungai Nipah Baruh, Simpang Lima, di sini, Ahad lalu.
Pasangan datuk, Encik Mohamed Osman, 78 tahun, bersama isteri Cik Sawiyah Awang, 70 tahun; diraikan bersama anak, Encik Syamsul Bakri Mohamed, 35 tahun, bersama isteri Cik Widyawati Mohamad, 35 tahun; dan pasangan cucu, Cik Shahrul Nadiah Misnan, 28 tahun, dan isteri Cik Faizah Sukiman, 26 tahun.
Encik Mohamed berkata, beliau terharu atas kerjasama dan muafakat anak, cucu dan cicitnya yang bersungguh-sungguh mengatur majlis perkahwinan tersebut.
Beliau yang mempunyai lapan anak, 26 cucu dan 11 cicit tidak menyangka disandingkan bersama anak dan cucunya berikutan umurnya yang sudah lanjut.
Selepas enam bulan kematian isteri, anak dan cucu Encik Mohamed sepakat mencarikan jodoh buatnya.
Bagi Encik Syamsul Bakri dan Cik Shahrul Nadiah bersama pasangan, mereka bersyukur dapat disandingkan serentak dan menyifatkan persandingan itu sebagai peristiwa bersejarah.
Seorang lagi cucu Encik Mohamed, Cik Norizan Mohamad Jaafar, 34 tahun, berkata setiap pasangan pengantin keluarga itu pada awalnya adalah atas pilihan keluarga tetapi mereka menerimanya dengan baik dan akhirnya kasih berputik hingga ke jenjang pelamin.
Beliau yang pada mulanya tidak menyangka usaha itu akan berhasil berharap ketiga-tiga pasangan datuk, anak dan cucu akan hidup berbahagia serta berkekalan sehingga ke akhir hayat. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment