Pages

Monday, October 12, 2009

Askar serbu dan bebaskan 39 tebusan

SIAP UNTUK MENYERANG: Askar-askar Pakistan sedang mengambil kedudukan di luar pagar markas tentera Pakistan di Rawalpindi selepas ia diserang oleh sekumpulan militan bersenjata kelmarin. -- Foto REUTERS

ISLAMABAD: Pasukan keselamatan Pakistan sedang menyiasat kemungkinan adanya hubungan antara seorang militan yang terselamat dalam kejadian serangan ke atas markas tentera Pakistan dengan satu serangan ke atas pasukan kriket Sri Lanka, kata para pegawai semalam.

Para pegawai tentera berkata mereka telah menahan seorang militan bernama Aqeel, yang juga dikenali sebagai Doktor Usman, pemimpin kumpulan sembilan orang militan yang menyerang markas tentera Pakistan kelmarin sambil menahan 42 orang tebusan.

Askar-askar Pakistan menyerbu bangunan markas tersebut semalam dan membebaskan 39 daripada tebusan itu.

Tiga tebusan, lapan askar dan lapan militan terbunuh dalam serbuan yang memakan masa 24 jam di bandar Rawalpindi itu.

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar-Jeneral (Mej-Jen) Athar Abbas, berkata Aqeel pada mulanya dapat membebaskan dirinya dengan meletupkan beberapa bahan letupan dan mencederakan lima kakitangan keselamatan, tetapi dia akhirnya tercedera dan ditangkap.

'Dia pemimpin kumpulan itu,' kata Mej-Jen Abbas.

Beliau memberitahu agensi berita AFP bahawa anggota militan itu kelihatan mempunyai nama dan alias yang sama dengan salah seorang militan yang diburu berkaitan dengan serangan ke atas pasukan kriket Sri Lanka di Lahore pada Mac lalu.

Serangan ala komando itu menyebabkan enam orang polis dan dua orang awam terbunuh, serta mencederakan tujuh anggota pasukan Sri Lanka itu.

Serangan tersebut ada persamaan dengan serangan ke atas markas tentera di Rawalpindi pada hujung minggu ini.

'Namanya kelihatan sama,' kata Mej-Jen Abbas tetapi beliau enggan mengulas lanjut sehingga para pegawai risikan menyediakan lebih banyak maklumat mengenai suspek itu.

Seorang pegawai keselamatan yang meminta namanya dirahsiakan berkata Aqeel juga diburu pihak berkuasa berkaitan dengan satu serangan roket ke atas mantan Presiden Pakistan, Encik Pervez Musharraf, pada 2007, dan pembunuhan seorang pegawai kanan tentera pada Februari 2008.

'Dia seorang pengganas terkenal. Namanya disebutsebut dalam beberapa kes... termasuk serangan ke atas pasukan kriket Sri Lanka.

'Dia akan disiasat dan butir-butir tepat (mengenainya) akan diketahui kelak,' kata pegawai itu kepada AFP.

Polis pada Julai lalu berkata mereka telah mengenal pasti tujuh lelaki yang didakwa merancang serangan ke atas pasukan kriket Sri Lanka itu, dan bahawa salah seorang daripadanya telah ditangkap.

Suspek, Zubair alias Nek Mohammad, yang dikaitkan dengan kumpulan Taleban itu memberitahu wartawan bahawa serangan itu dibantu oleh Doktor Usman. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini