Pages

Tuesday, September 8, 2009

Usah doa buruk terhadap bukan Islam

RIYADH: Penganut Islam harus mengelakkan diri daripada mendoakan pembinasaan atau kemusnahan golongan bukan Islam, kata seorang ulama berpengaruh di Arab Saudi.

Sebelum ini, ramai imam masjid dan ulama di beberapa negara Islam sering mengakhiri khutbah Jumaat mereka dengan menggesa agar musuh-musuh Islam dibinasakan.

Musuh-musuh yang dimaksudkan termasuk Israel dan sekutu-sekutunya.

'Mendoakan pembinasaan dan kemusnahan semua orang kafir tidak dibenarkan kerana ia melanggar syariat Tuhan yang menggesa golongan itu supaya... kembali ke jalan yang benar,' kata Sheikh Salman al Awdah kepada saluran televisyen yang berpangkalan di Dubai, MBC Television.

'Menyeru agar anak-anak mereka dan nenek moyang mereka dihapuskan juga tidak dibenarkan... kecuali bagi golongan yang zalim di kalangan orang kafir dan mereka yang melanggar kesucian dan membentangkan bahaya kepada penganut Islam,' tambah beliau.

Pada tahun-tahun 1990-an, Sheikh Salman sebelum ini pernah membidas keluarga diraja Arab Saudi.

Tindakan beliau telah mendapat pujian pemimpin kumpulan pengganas Osama bin Laden.

Bagaimanapun, Sheikh Salman enggan dirinya dikaitkan dengan Osama dan lantas mengecam pemimpin kumpulan Al-Qaeda itu sambil menarik perhatian bahawa rangkaian pengganas yang dipimpinnya bertanggungjawab atas kematian golongan yang tidak berdosa.

Malah, tahun lalu, Sheikh Salman menggesa Osama supaya meninggalkan keganasan.

Sebelum ini, Saudi Arab cuba memujuk para ulama yang berpengaruh agar menyuarakan bantahan mereka terhadap ideologi radikal.

Ideologi serupa itu dikatakan bertanggungjawab menggalakkan keganasan ke atas golongan bukan Islam, serta penganut Islam atau pemerintah Islam yang dilihat tidak mengamalkan ajaran agama itu.

Sheikh Salman merupakan pengarah laman web dalam bahasa Arab, Islam Today, dan mengendalikan beberapa rancangan televisyen.

Beliau juga sering menyumbang rencana di akhbar-akhbar setempat. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini