Pages

Friday, September 11, 2009

Tiga etnik Uighur Islam akur dipindah ke Palau

KOROR (Palau): Tiga rakyat China beragama Islam yang ditahan selama beberapa tahun di penjara tentera Amerika Syarikat di Guantanamo Bay, akur untuk dibebaskan ke pulau Palau di Lautan Pasifik, demikian peguam mereka memberitahu agensi berita The Associated Press (AP).

Mereka termasuk kumpulan pertama seramai 13 tahanan etnik Uighur di Guantanamo Bay yang ditawar dipindahkan di bawah rancangan Presiden Barack Obama menutup penjara Guantanamo Bay di Cuba.

Rundingan kini diteruskan dengan baki kumpulan itu bagi mendapatkan kediaman baru untuk mereka yang dibebaskan daripada pertuduhan jenayah.

Beijing menganggap para tahan itu sebagai suspek pengganas dan mahu mereka dihantar pulang ke China.

Namun aktivis Uighur mendakwa kumpulan itu akan diseksa atau mungkin dibunuh jika dihantar pulang ke China.

Pada Jun lalu, empat tahanan Uighur telah dipindahkan ke Bermuda. Pada bulan yang sama, Palau menawarkan untuk mengambil baki 13 tahanan rakyat Uighur yang masih berada di Guantanamo Bay.

Encik George Clarke, peguam bagi dua lelaki Uighur, Dawut Abdurehim dan Anwar Assan, berkata Selasa lalu bahawa mereka berdua baru-baru ini telah menerima tawaran Washington secara rasmi untuk dipindahkan ke pulau Palau.

Sementara itu, Encik Eric Tirschwell, peguam bagi empat lagi tahanan etnik Uighur di Guantanamo Bay, berkata Rabu lalu bahawa seorang daripada anak guamnya juga telah menerima tawaran tersebut.

'Mereka sungguh ghairah. Mereka mahu segera meninggalkan Guantanamo Bay. Mereka menunggu untuk dipindahkan ke Palau dan memulakan hidup baru di sana,' demikian Encik Clarke memberitahu AP menerusi telefon dari Washington.

Mereka yang menerima tawaran tersebut boleh dipindahkan ke Palau seawal Oktober ini, kata Encik Clarke.

Kesemua 13 lelaki Uighur dari wilayah Xinjiang itu ditahan oleh Amerika sejak mereka ditawan di Afghanistan dan Pakistan pada 2001.

Pentagon memutuskan pada tahun lepas bahawa mereka bukan 'askar musuh' dan akan dibebaskan daripada Guantanamo Bay.

Pegawai kanan Amerika di pulau Palau, Encik Mark Bezner, kelmarin berkata beliau belum menerima sebarang pemberitahuan mengenai ketiga-tiga lelaki Uighur yang akan di pindahkan ke sana.

'Barang kali kami akan mendapat pengesahan daripada Washington dalam masa beberapa hari lagi,' kata beliau.

Seorang jurucakap Presiden Palau, Encik Johnson Toribiong, berkata beliau belum diberitahu mengenai perkara itu.

'Sudahkah mereka setuju hendak datang ke sini? Kami tidak tahu apa-apa mengenainya,' kata Encik Ngiraibelas Tmetuchel kepada akhbar The Times.

Pada Jun lalu, Encik Toribiong berkata sebahagian tahanan Uighur menyatakan kebimbangan mengenai dekatnya pulau itu dengan China.

Tetapi para pegawai Amerika menegaskan mereka akan selamat di sana.

Encik Clarke pula berkata para tahanan bimbang sama ada mereka boleh dibenarkan pergi menunaikan ibadah haji selepas dipindahkan ke Palau. -- AP.

No comments:

Posting Terkini