SEBUAH buku yang menceritakan kisah Parti Tindakan Rakyat (PAP) menerusi kaca mata berbeza dilancarkan syarikat media, Singapore Press Holdings (SPH), di The Arts House, Old Parliament Lane, semalam.
Bertajuk Men In White - The Untold Story of Singapore's Ruling Political Party (Lelaki Berseragam Putih - Kisah yang Belum Diceritakan Tentang Parti Pemerintah Singapura), buku ini melibatkan wawancara dengan sekitar 300 orang - 25 daripadanya sudah meninggal dunia - dari Singapura, Malaysia, Thailand, Hongkong dan China.
Setebal 692 halaman, ia ditulis tiga wartawan mapan akhbar berbahasa Inggeris, The Straits Times, Encik Sonny Yap, Encik Richard Lim dan Encik Leong Weng Kam.
Projek buku ini mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan dan dilancarkan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew - antara pengasas parti itu.
Apa yang menarik tentang buku ini ialah ia juga memuatkan suara anggota parti itu yang berhaluan kiri seperti Encik Fong Swee Suan, Encik Dominic Puthucheary, Encik Lim Chin Joo, Chen Say Jame dan Encik Low Por Tuck.
Berucap pada majlis tersebut, Pengerusi SPH, Dr Tony Tan, berkata buku itu mengisahkan jatuh bangun sebuah parti politik yang lama memerintah di dunia.
'Ia belum diceritakan kerana ramai daripada suara-suara ini tidak pernah didengar dalam buku-buku terawal PAP - suara-suara mantan penyokong setia dan aktivis akar umbi PAP serta seteru mereka.
'Kisahnya tidak diceritakan kerana suara golongan Mandarin dan dialek Cina lain, golongan bertutur bahasa Melayu dan Tamil sering terlepas perhatian dalam tulisan-tulisan PAP dan diperdengarkan buat kali pertama,' ujarnya.
Bagi mendapatkan versi para anggota berhaluan kiri yang dibuang negeri, temu ramah tersebut sering kali diadakan di luar Singapura.
Tambah mantan Timbalan Perdana Menteri itu, buku tersebut boleh dilihat sebagai penghormatan terhadap generasi yang hidup sebelum perang yang menderita di bawah jajahan Britain dan Jepun, dan mengharungi kemiskinan dan keresahan politik serta ketidakstabilan sosial demi membangunkan sebuah negara yang baru.
'Jika tidak kerana sifat jimat cermat, kerja keras dan pengorbanan besar para pemimpin dan rakyat, generasi sekarang mungkin tidak menikmati keamanan dan kemakmuran yang Singapura kecapi hari ini,' kata Dr Tan.
Sekitar 150 orang hadir semalam, termasuk Haji Mahmud Awang, mantan anggota parlimen bagi Kampong Kapor di kawasan undi Rochore, antara 1963 hingga 1968.
'Apa yang kita kecapi sekarang adalah kesepaduan rakyat yang hidup aman dan sentosa. Ini tentu sekali berbeza pada waktu awal pemerintahan dahulu,' kata Haji Mahmud, 82 tahun, yang kini menetap di Endau, Johor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment