DUA tahun sudah berlalu tetapi kesan kekecewaan masih segar dalam ingatan para pemain dan penyokong England.
Betapa tidak, England kecundang 2-3 di tangan Croatia dan tersingkir daripada final Euro 2008.
Kini, England berpeluang mengikis kenangan pahit itu dengan menewaskan Croatia apabila mereka bertemu dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Wembley hari ini.
Azam menebus kekecewaan itu menjadi motivasi tambahan selain daripada kemenangan yang akan menjamin tempat England di final Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan.
Dengan semangat dan keyakinan diri di bawah pimpinan Fabio Capello, England dijangka mencatat kemenangan kelapan berturut-turut dalam kelayakan ini dan meninggalkan Croatia, Ukraine dan Belarus bersaing merebut tempat kedua Kumpulan Enam bagi perlawanan penentuan dengan naib johan kumpulan-kumpulan yang lain.
England menduduki tangga teratas dengan 21 mata daripada tujuh perlawanan - lebih empat mata ke atas Croatia, yang telah bermain lebih satu perlawanan.
Croatia turun tanpa tunggak midfieldnya, Luka Modrid, bintang Tottenham Hotspur yang mengalami retak tulang kaki dalam perlawanan Liga Perdana menentang Birmingham City baru-baru ini.
Perancangan persiapan jurulatih Slaven Bilic turut terjejas dengan kehilangan seorang lagi tunggaknya, Vedran Corluka, yang digantung selepas dibuang padang semasa mengalahkan Belarus 1-0 Sabtu lalu.
England menundukkan Croatia 4-1 dalam pertemuan pertama di Zagreb dan sewajarnya menjadi pasukan favorit dalam perlawanan di Wembley ini.
Tetapi untuk memenuhi jangkaan itu, anak buah Capello mesti menunjukkan tahap permainan yang lebih baik berbanding ketika kemenangan hambar 2-1 ke atas Slovenia dalam perlawanan persahabatan Sabtu lalu.
Selain daripada jangkaan para penyokong, John Terry dan rakan-rakannya sedar bahawa mereka akan menerima padah daripada Capello jika gagal memenangi perlawanan ini.
Antara keprihatinan jurulatih Italy itu ialah hilang tumpuan di kalangan pemainnya, terutama sekali di barisan pertahanan, seperti gol jaringan Slovenia selepas England mendahului dua gol.
Bintang midfield, Frank Lampard, percaya para pemain England akan memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan bagi mengelakkan kesilapan daripada berulang.
'Kami semua sedar dan faham kesilapan yang telah kami lakukan dan tahu pengurus (Capello) tidak dapat menerimanya,' tegas Lampard.
'Sabtu lalu, beliau tidak puas hati dengan persembahan kami dan itu dapat disaksikan dengan bagaimana beliau menjalankan tugasnya bagi menghasilkan yang terbaik dan mengecap kejayaan.'
'Kami mahu membaiki kesilapan kami dan akan bekerja keras untuk menyempurnakan tugas dengan sebaiknya,' tambah Lampard, merujuk kepada kemenangan yang menjamin tempat England di final Piala Dunia nanti.
Dengan kegigihan, azam dan keyakinan baru yang diterapkan oleh Capello, England seharusnya tidak menghadapi masalah mahu memenuhi harapan para peminatnya dengan memenangi perlawanan malam ini dan memastikan mereka tidak lagi perlu menunggu untuk menempah tiket ke Afrika Selatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment