Pages

Friday, September 4, 2009

Lee Kuan Yew : Jika Pembangkang Berkuasa

Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, menyertai dialog ulang tahun kelima Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, di Hotel Shangri-La malam kelmarin. Berikut sedutan jawapan beliau kepada pertanyaan peserta.

Oleh
Azahar Mohd

TERDAPAT pelbagai perlindungan yang sudah dilaksana pemerintah demi kemaslahatan Singapura dan rakyatnya sekiranya parti pembangkang mengambil alih pemerintahan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya akan datang, kata Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew.

Beliau memberi jaminan bahawa rizab Singapura akan dilindungi, sementara pegawai kanan pemerintah - seperti yang memimpin pasukan polis dan tentera - pula tidak boleh diubah tanpa persetujuan Presiden terlebih dahulu didapatkan.

'Kita telah pun melaksana sistem Presiden mempunyai kuasa bangkangan, oleh itu pembangkang yang mengambil alih kuasa akan mendapati mereka tidak boleh menyentuh rizab negara,' ujar Encik Lee semasa sesi dialog sempena sambutan ulang tahun kelima Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, di Hotel Shangri-La malam kelmarin.

'Jika tidak, mereka akan menjanjikan sesuatu yang tinggi dan membelanjakan wang hingga semua simpanan kita susut dalam tempoh lima tahun,' tambah beliau.

Sesi dialog selama sejam itu diketuai dekan sekolah tersebut, Profesor Kishore Mahbubani, dan dihadiri lebih 800 orang, termasuk menteri Kabinet, kakitangan awam kanan, diplomat dan ahli akademik.

Encik Lee menarik perhatian bahawa Presiden boleh memanfaatkan Majlis Penasihat, yang merangkumi sekumpulan pakar ekonomi dan ahli perniagaan, untuk menasihatkannya tentang apa yang terbaik bagi negara.

Beliau berkata sistem di Singapura memberi sebarang parti pembangkang peluang saksama mengambil alih pemerintahan PAP secara aman.

'Sekiranya anda boleh memenangi pilihan raya, ia harus diterima. Dan pada sesuatu masa, dalam sesuatu tempat, kami mungkin tidak berupaya mencari pasukan yang boleh menandingi pasukan pembangkang.

'Dan pada hari itu, kami seharusnya digantikan. Sekiranya kami dibebani rasuah, tidak cekap dan gagal memenuhi janji, kami seharusnya dikalahkan.

'Kami juga tidak boleh memberi jaminan bahawa kami akan menghasilkan pasukan lebih baik daripada pembangkang setiap kali.

'Saya tidak melihat sebarang masalah dalam pilihan raya akan datang, tetapi mungkin dalam pilihan raya selanjutnya, dan pembangkang berupaya mendapatkan pasukan lebih baik.

'Oleh itu, kami menghadapi risiko,' kata Encik Lee.

Semasa sesi dialog itu, Encik Lee ditanya tentang pelbagai perkara, termasuk pandangan beliau tentang kemajuan yang dicapai China dan India, dan barisan kepimpinan baru Singapura.

Ditanya tentang punca krisis kewangan sejagat, Menteri Pembimbing berkata ia timbul akibat kurangnya penguatkuasaan dan kepercayaan bahawa pasaran bebas sistem terbaik bagi ekonomi dunia.

'Kita masih berada dalam pertengahan krisis yang belum pulih sepenuhnya. Saya fikir perbincangan yang diadakan ialah bagaimana memastikan kita tidak tergelincir lebih dalam dalam kemelesetan ini.

'Apabila kita keluar daripada kemelesetan ini, kita perlu memulakan tugas lebih sukar membaiki sistem tersebut. Namun ia bukanlah jaminan bahawa kita boleh mengelakkan diri daripada dilanda krisis serupa lagi,' ujar Encik Lee.

Awal dari itu, Profesor Mahbubani mengumumkan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew akan melancarkan satu program Sarjana dalam Pentadbiran Awam dan Pengurusan dalam bahasa Mandarin.

Beliau juga mendedahkan mantan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Kofi Annan, telah bersetuju menerima jawatan sebagai Profesor Li Ka-Shing pertama di sekolah itu.

Encik Annan akan memulakan tugas pada Februari depan.

No comments:

Posting Terkini