Pages

Tuesday, September 8, 2009

Hantar Tandatangan Dulu Sebelum Pertemuan Bersama

KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Penyokong timbalan presiden MCA yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek diharap mengemukakan dengan segera senarai tandatangan satu pertiga daripada perwakilan dan sebab mesyuarat agung luar biasa (EGM) perlu diadakan.

"Lagi cepat penuhi syarat, lagi bagus, lagi cepat saya boleh aturkan perbincangan kedua-dua pihak," kata Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) William F. Shija di sini Selasa.

"Apabila kedua-dua kehendak ini dipenuhi maka saya akan memanggil dua pihak iaitu wakil daripada Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan satu lagi (penyokong Dr Chua) yang memohon untuk diadakan EGM supaya dapat berbincang mengenai resolusi dan bagaimana kita hendak kendalikan EGM itu," kata beliau.

Wong yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata beliau sekali lagi meminta mana-mana pihak yang mencadangkan untuk mengadakan EGM supaya mematuhi peruntukan dalam perlembagaan parti.

Ong juga telah mengarahkan Wong supaya diadakan EGM berikutan pemecatan Dr Chua kerana mencemarkan imej parti dengan pembabitannya dalam skandal seks DVD.

Dr Chua mendakwa telah memperoleh lebih 800 tandatangan yang membolehkannya mengadakan EGM di mana penyokong bekas Menteri Kesihatan itu mahu keputusan memecat beliau ditarikbalik dan menerimanya semula.



-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini