KUALA LUMPUR 7 Sept. — Pelajar Malaysia Adelina Raisa Sufian, 21, meraih anugerah “Pelajar Keseluruhan Terbaik” dengan kelulusan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Queen Mary College di University of London yang sekali gus mengharumkan nama negara.
Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk anugerah “Westfield Trust Prize for Outstanding Academic Achievement” apabila berjaya menjadi pelajar Malaysia pertama memenangi anugerah yang dianggap paling berprestij dari universiti tersebut.
Anak sulung kepada pasangan Datuk Sufian Majid dan Datin Alissa Fitri ini berkata, beliau begitu gembira dan bangga kerana mendapat kelulusan kelas pertama dan berjaya menggondol anugerah tersebut kerana ia merupakan impian dan cita-citanya ketika mula menjejak kaki ke universiti tersebut.
“Saya belajar bersungguh-sungguh dengan menetapkan sasaran tertentu. Yang penting adalah kesungguhan dan keyakinan pada diri kita. Saya terpaksa menandingi ramai pelajar di London dan juga pelajar dari negara lain tetapi berbekalkan semangat yakin boleh, saya berjaya melakukannya.
“Saya juga selalu mendapat sokongan dan rangsangan daripada ibubapa dan juga adik saya. Kata-kata rangsangan mereka memberikan suntikan semangat yang kuat kepada saya,” katanya kepada Bernama. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment