SINGAPURA, 9 Ogos -- Singapura malam ini menyambut Hari Kebangsaan ke-44 dengan mengadakan perarakan dan pementasan yang mengkisahkan asal usul negerinya hingga ke hari ini di pentas terapung di Marina Bay di sini.
Kira-kira 30,000 penduduk Singapura yang bertiket sahaja dapat menyaksikan sambutan itu di pentas itu manakala ribuan penonton lain terpaksa menontonnya dari jauh di sekeliling teluk atau melalui siaran langsung televisyen tempatan.
Pertunjukan dimulakan dengan kisah bagaimana negara pulau ini mendapat namanya, diikuti pertunjukan mempertahankan Singapura daripada serangan musuh oleh pasukan tenteranya menggunakan kereta kebal, kapal perang, helikopter dan jet pejuang F-16, perarakan pasukan beruniform, dan persembahan tarian dan nyanyian mengenai kemajuan republik ini.
Sebelum itu, sepasukan anggota komando Singapura melakukan pertunjukan terjunan payung terjun dengan mendarat tepat atas pentas terapung itu dan diikuti dengan sebuah helikopter Chinook membawa bendera besar merah putih Singapura terbang rendah.
Sambutan disaksikan oleh Presiden S. R. Nathan, yang ketika memeriksa perbarisan kawalan kehormatan tentera dan polis, kedengaran 21 das tembakan dilepaskan daripada meriam yang diletakkan di atas beberapa bot di tengah laut teluk itu.
Persembahan itu yang disaksikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, bekas-bekas perdana menteri Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong diakhiri dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment