Pages

Friday, August 14, 2009

Saintis Melayu dalam kumpulan kesan H1N1

PENGESANAN LEBIH PANTAS: Dr Emril, bersama lapan anggota pasukannya di IBN, telah membangunkan alat diagnosis yang boleh mengesan dan mengenal pasti penyakit berjangkit, termasuk flu H1N1, dalam masa yang lebih singkat daripada kaedah yang ada. -- Foto JOHARI RAHMAT

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

MENGESAN virus Influenza A H1N1 dengan pantas supaya pesakit boleh mendapat rawatan dengan segera.

Alat diagnosis bagi tujuan itu, yang diusahakan seorang saintis muda Melayu bersama sekumpulan saintis dari Institut Biokejuruteraan dan Teknologi Nano (IBN), sedang menjalani ujian klinikal dan berpotensi dipasar sedang dunia bersiap menghadapi gelombang kedua penularan virus H1N1.

Dr Emril Mohamed Ali, 32 tahun, zamil poskedoktoran IBN, diberi tugas khusus - mensahihkan mekanisme pengesanan bersepadu dengan alat diagnosis itu.

Alat diagnosis itu bukan sahaja dapat mengurangkan masa ujian virus H1N1 selama beberapa jam, bahkan mudah alih dan berupaya mengesan penyakit berjangkit lain.

Menurut Dr Emril, yang menyertai IBN selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana di Imperial College London di Britain pada 2003, alat diagnosis yang dikenali sebagai Micro-Kit itu jauh lebih pantas daripada ujian tradisional yang menggunakan kaedah polymerase chain reaction (PCR).

'Kepantasan itu memberi kelebihan berbanding ujian PCR, yang mengambil masa beberapa hari. Kami kini sedang menjalankan ujian klinikal dengan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS),' ujar penerima Biasiswa Siswazah Agensi bagi Sains, Teknologi Sains dan Penyelidikan (A*Star) itu semalam.

Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Mekanikal) dengan kepujian kelas kedua atas pada 2002 dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan kemudian mengikuti kursus sarjana di Imperial College dan doktor falsafah (PhD) di NUS tahun lalu.

Menurut Dr Emril, yang baru berumah tangga tahun lalu, minatnya terhadap sains disemai sejak kecil.

'Saya minat program-program televisyen seperti Knight Rider dan Airwolf. Kecanggihan kenderaan dalam siri televisyen itu membuat saya tertanya-tanya tentang kaedah mekanikal, elektrikal dan bagaimana kenderaan itu boleh memecut dengan laju,' ujarnya.

Selain penyelidikan tentang H1N1, Dr Emril sedang menjalankan penyelidikan tentang DNA sintetik yang berupaya digunakan dalam bidang kejuruteraan, baik bagi tujuan perubatan mahupun bidang biologi.

Bagi memupuk minat pelajar tentang sains dan penyelidikan, Dr Emril dilantik IBN memberi penerangan secara mudah tentang ilmu sains dalam satu pameran, X-periment!, di Marina Square dari hari ini hingga lusa.

'Apabila pelajar melihat aplikasi sains dalam kehidupan harian, mereka akan sedar tentang betapa penting sains itu dalam kehidupan mereka.

'Saya juga berharap lebih ramai anak Melayu dapat menceburi bidang penyelidikan,' ujarnya.


Catatkan pandangan anda mengenai laporan di atas

No comments:

Posting Terkini