Pages

Wednesday, August 12, 2009

Hassan Ali Sedia Dikenakan Tindakan Disiplin

SHAH ALAM, 12 Ogos - Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali hari ini menyatakan pendiriannya untuk menegakkan prinsip perjuangan parti dan rakyat, tanpa menghiraukan ugutan pihak tertentu berhubung isu arak.

Walaupun tindakan PAS Selangor dilihat agak tegas, namun ia selari dengan peruntukan undang-undang, malah menepati hasrat Sultan Selangor, untuk melihat agama Islam tidak tercemar.

“Sayugia diingatkan permasalahan ini adalah permasalahan yang melibatkan umat Islam sahaja. Oleh itu, apa-apa juga tindakan yang diambil oleh PAS Negeri Selangor yang selari dengan peruntukan undang-undang yang ada hendaklah dilihat secara positif. Apatah lagi tindakan yang diambil bertepatan dengan hasrat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor untuk melihat Agama Islam ini tidak tercemar dan sentiasa dimartabatkan”, jelas Hassan Ali lagi.

Tambahnya, ugutan tersebut sama sekali tidak melemahkan beliau untuk mempertahankan prinsip perjuangan parti dan undang-undang Islam.

Dr Hassan berkata demikian pada sidang media berhubung kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee yang menggesa pucuk pimpinan Pakatan Rakyat Selangor mengambil tindakan disiplin ke atasnya.

Ia berikutan gesaan Dr Hassan supaya Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew dilucutkan jawatan kerana mengarahkan penguatkuasa MBSA mengembalikan rampasan arak di sebuah kedai di Seksyen 8, 21 Julai lalu.

Menurutnya lagi, beliau sedia dikenakan tindakan disiplin ataupun dilucutkan jawatan sebagai Exco Selangor akibat pendiriannya itu.

Mengikut keputusan undian pesanan ringkas (SMS) yang dibuat akhbar tempatan, Sinar Harian pada 10 Ogos lalu, tinjauan mendapati 74 peratus rakyat berpendapat tindakannya itu tidak menjejaskan Pakatan Rakyat Selangor.

“Dengan sokongan dan dokongan daripada semua sebagaimana yang saudara tahu pihak polls yang dibuat oleh sesetengah akhbar antara 85 peratus hingga 100 peratus daripada rakyat memberikan pandangan dan pendapat mereka arahnya adalah menuju sokongan terhadap kita”, tegasnya lagi.

Beliau menggesa semua pihak, terutama media agar tidak memanipulasikan isu arak ini untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Sementara itu, PAS Negeri Selangor turut mencadangkan beberapa usul bagi menambahbaik langkah percubaan melarang penjualan arak di pasaraya dan kedai serbaneka. -MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments:

Posting Terkini