Pages

Tuesday, August 11, 2009

Cabaran wanita dalam krisis ekonomi

MASALAH pekerjaan dan mata pencarian, sukar memasuki semula dunia pekerjaan dan mencari keseimbangan antara hidup dengan pekerjaan.

Itulah antara cabaran yang dikenal pasti akan terus dihadapi golongan wanita di Asia-Pasifik, terutama sekali di tengah-tengah krisis ekonomi.

Ini meskipun kaum Hawa di rantau ini boleh menganggap diri mereka beruntung berbanding kebanyakan wanita lain di dunia.

Ini kerana 63 peratus penduduk wanita di Asia-Pasifik memiliki pekerjaan berbanding 54 peratus di Afrika Sub-Sahara dan 22 peratus di Timur Tengah dan Asia Selatan.

Demikian antara isu yang diketengahkan dalam mesyuarat Rangkaian Pemimpin Wanita Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec WLN) yang ke-14 yang dihoskan Singapura selama dua hari minggu lalu.

Mesyuarat bertemakan 'Wanita dan Pembangunan yang Boleh Dikekalkan' itu meliputi topik-topik seperti wanita dalam perniagaan, ekonomi berteraskan ilmu, keharmonian pekerjaan dengan hidup serta syarikat sosial.

Semasa membentangkan 10 saranan dasar, mesyuarat itu akur bahawa sementara wanita di negara-negara Apec mengecap kemajuan, masih terdapat sistem dan struktur yang akan menghambat sumbangan ekonomi, membataskan peluang ekonomi dan meningkatkan risiko wanita khususnya dalam ribut krisis sekarang.

Pengarah Eksekutif Dana Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Wanita (Unifem), Cik Ines Alberdi, berpendapat wanita di Asia-Pasifik kini menghadapi cabaran baru khususnya dari segi pekerjaan. Beliau menarik perhatian bahawa perangkaan terkini menunjukkan kadar kehilangan pekerjaan dalam kalangan wanita kian meningkat sehingga 7.4 peratus pada 2009 berbanding 7 peratus bagi lelaki.

'Wanita di negara membangun yang bergantung pada industri eksport lebih terdedah terhadap risiko, yang menyumbang kepada 70 hingga 80 peratus tenaga kerja,' ujarnya.

Menurutnya lagi, Persatuan Buruh Antarabangsa (ILO) meramalkan bahawa wanita akan diheret ke dalam bidang pekerjaan yang tidak terjamin lebih cepat daripada lelaki.

'Pada masa yang sama, sedang lebih ramai yang terpaksa beralih ke pekerjaan tak formal kerana kehilangan pekerjaan, pekerjaan dalam sektor itu sendiri kini semakin sukar diperoleh.

'Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) melaporkan bahawa 70 peratus daripada pekerja yang dibuang kerja di Asia adalah dalam sektor tak formal. Perangkaan inilah yang jarang didedahkan dan sering diabaikan dalam pakej rangsangan,' ujar Cik Alberdi.

Pemerintah juga perlu memainkan peranan kerana ini akan menjadi rintangan besar pada apa sahaja usaha dilakukan sebagaimana diluahkan Menteri Negara bagi Memperkasa Wanita Indonesia, Dr Meutia Farida Hatta Swasono.

'Kurangnya komitmen para penggubal dasar pada peringkat badan eksekutif, perundangan dan kehakiman untuk melaksanakan strategi mengarusperdanakan jantina dan sumber manusia yang tidak memahami pentingnya usaha itu dalam proses pembangunan adalah antara contoh yang boleh dilihat.'

Semasa mesyuarat itu juga, para penceramah bersetuju bahawa potensi sumbangan ekonomi oleh wanita tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara-negara Apec.

Oleh itu, perlu ada tindakan konkrit bagi memastikan wanita dapat benar-benar dilibatkan dalam perkembangan ekonomi sejagat.

'Kita perlu mempunyai dasar ekonomi yang mempunyai tumpuan jantina dengan kehadiran wanita di 'meja' keputusan utama. Kita juga perlu menilai kesan projek pembangunan ke atas wanita bagi menimbulkan kesedaran tentang impaknya yang berbeza daripada lelaki,' kata Timbalan Pengarah Pejabat Setiausaha Isu Wanita Global Jabatan Negara Amerika, Cik Anita Botti.

Menurut laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia, membataskan peluang pekerjaan dalam kalangan wanita akan menyebabkan kerugian dari segi pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) antara AS$42 bilion ($63 bilion) dengan AS$46 bilion setahun.

Semua saranan yang dibuat akan dibentangkan kepada 21 pemimpin Apec pada November ini.

Tahun depan, Apec WLN ke-15 akan diadakan di Jepun.

No comments:

Posting Terkini