Memanglah lumrah dan adat politik bahawa parti yang bertentangan ideologi jarang sekali bersetuju. Hanya apabila ada tragedi negara, barulah yang memerintah dan membangkang bersatu.
Selalunya, kedua-duanya akan cuba menunjuk kepada rakyat jelata, yang merupakan pengundi, siapakah yang lebih bagus. Oleh itu kita adakan kempen politik supaya kita boleh menilai yang mana intan yang mana kaca. Tetapi di dalam keadaan politik negara kita yang sentiasa panas, kempen tidak pernah tamat.
Kadang-kadang letih juga dibuatnya, tetapi kita perlu terima semua ini sebagai satu tabiat dan ciri masyarakat yang mengamalkan demokrasi.
Kita perlu juga terima hakikat yang semua orang mempunyai pendapat, tambah-tambah lagi dengan adanya internet di mana sesiapa yang berkecenderungan boleh menjadi pemberita, penganalisis atau penerbit.
Tidak juga dapat dielakkan di dalam demokrasi, apa saja boleh dipolitikkan. Ini sifat yang dimiliki bersama antara mereka yang memerintah dan mereka yang cuba merampas tampuk pemerintahan. Tiada bezanya di antara kedua-dua dalam mengambil kesempatan politik, kerana semua memerlukan modal yang mungkin dapat ditukar dengan undi suatu hari nanti.
Mereka juga menentukan agenda perbualan-perbualan kita di sekeliling meja ketika minum teh tarik di restoran, sewaktu masa rehat di pejabat, atau di serambi surau. Jika kita kaji, sebenarnya tidak ramai, mungkin kurang dari 100 orang, di negara kita yang mempunyai 26 juta penduduk, yang menentukan topik perbualan kita dengan keluarga atau rakan setiap hari.
Menurut teori saya, mereka yang kurang dari 100 orang ini juga akan menentukan sama ada kita marah, sedih atau gembira. Setiap hari mereka juga akan dapat memujuk, mengapi-api, melayan perasaan kita dan seterusnya.
Hanya 100 orang di kalangan 26 juta yang kadang-kadang buat kita tidak senang duduk. Memanglah mereka banyak pengikut, tetapi pembikin berita atau newsmakers ini sedikit saja.
Kita rakyat biasa cuma pengguna berita yang dibawa ke sana sini oleh arus agenda ahli politik. Media, sama ada arus perdana atau internet, memanglah boleh dipertanggungjawabkan kerana memberi ruang kepada 100 orang ini. Media bersekongkol, kita diguna dan kita juga menggunakan ahli politik.
Adakah ini yang baik untuk negara, entahlah.
Contohnya, keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan inkues untuk mencari sebab kematian Teoh Boon Hock sudah menimbulkan beberapa reaksi. Sudah tentunya, dan berdasarkan lumrah politik dan demokrasi pihak pembangkang tidak akan boleh menerima keputusan kerajaan sepenuhnya.
Kalau tidak apakah peranannya sebagai pembangkang. Perkara ini sama jika terbalik. Para pengkritik kerajaan mesti ada beberapa sebab menolak keputusan kerajaan di dalam pembentukan suruhanjaya.
Yang pertama ialah kerana pembangkang percaya kerajaan tidak pandai dan cekap. Sudah tentunya bagi pihak yang mahu mengambil alih kuasa, mereka lebih bijak dan cekap di dalam menangani isu itu.
Pada peringkat Persekutuan, pembangkang akan mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak cekap, rasuah dan tidak telus. Manakala di lima negeri, pembangkang yang terdiri daripada anggota BN, akan mengatakan perkara sama mengenai kerajaan Pakatan Rakyat.
Ini perkara biasa dan kita rakyat biasa kalau boleh jangan terbawa-bawa.
Tetapi saya rasa tidak baik bagi pengkritik memberi gambaran bahawa hanya mereka yang mahukan keadilan dan kebenaran berhubung kematian Teoh, semata-mata kerana kerajaan tidak mengambil cadangan mereka sepenuhnya.
Mereka mesti tahu yang bukan mereka saja yang kesal dengan kematian orang muda itu, dan bukan mereka saja yang mahukan jawapan. Jika ada kepincangan di SPRM, bukan mereka saja yang mahukan tindakan diambil ke atas agensi itu.
Yang lebih bahaya lagi ialah pengkritik yang menganggap kerajaan ada benda yang hendak disorok, atau tidak mahu perkara sebenar diketahui umum. Ini ialah teori konspirasi yang senang ditabur dan tidak perlu dibuktikan.
Rasanya ada baiknya jika semua orang cuba tidak cepat melatah. Beri peluang perkara reda dulu sebelum melompat menyinsing lengan, membuka langkah. Ada yang syak wasangka dengan keupayaan majistret untuk menjalankan inkues, kerana ia merupakan antara jawatan terendah kehakiman.
Terlalu awal untuk merumuskan suruhanjaya dan inkues tidak akan membuahkan apa-apa hasil. Siapa anggota dan ketua suruhanjaya pun kita belum tahu. Siapa yang akan jalankan inkues pun kita tak tahu lagi.
Bukankah kedua-duanya akan diadakan secara terbuka dan semua orang akan dapat mengikuti mereka sama ada melalui media perdana atau alternatif.
Rasanya tiada yang boleh disorok.
Adalah penting untuk kerajaan menentukan suruhanjaya dan inkues berjalan lancar, telus dan berintegriti, kerana seluruh negara memerhatikan tindakannya. Ia akan menjadi salah satu KPInya. Begitu juga rakyat akan memerhati teliti tindakan para pengkritik kerajaan. - Berita Minggu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment