PARIS: Hanya 367 wanita di Perancis memakai purdah, menurut satu laporan akhbar setempat Rabu lalu.
Pendedahan itu sekali gus melemahkan hujah ahli politik yang sebelum ini mendesak agar purdah diharamkan di negara itu.
Satu panel penggubal dasar sedang mengkaji sama ada bilangan wanita Perancis yang memakai purdah bertambah atau tidak dan apa sebabnya.
Panel itu dijangka mengumumkan sama ada ia menyokong pengharaman pemakaian purdah di tempat-tempat awam dalam tempoh beberapa bulan mendatang.
Sebelum ini, Presiden Nicolas Sarkozy mengisytiharkan bahawa purdah yang dipakai oleh wanita Islam sebagai pakaian yang tidak diingini di Perancis.
Beliau, bagaimanapun, belum mengharamkan pemakaian purdah.
Akhbar Le Monde berkata memandangkan bilangan wanita yang memakai purdah kecil, idea mengharamkannya harus dibatalkan.
'Adakah kita perlu satu undang- undang khusus untuk kurang 400 orang... berdasarkan risikonya, termasuk menyebabkan Islam distigma... jawapannya tidak perlu,' kata akhbar berpengaruh itu.
Akhbar Le Monde berkata ia telah melihat dua laporan berasingan oleh dua agensi risikan setempat yang menunjukkan hanya sekumpulan kecil wanita Islam yang memakai purdah.
Salah satu laporan itu berkata bilangan wanita yang memakai purdah hanya 367 orang di seluruh Perancis.
Laporan tersebut berkata sebahagian besar golongan itu berusia di bawah 30 tahun.
Perancis mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di Eropah dengan sekitar lima juta orang. -- Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment