Pages

Friday, April 10, 2009

Najib nafikan suara rakyat

Kabinet baru yang dilantik semalam oleh Najib Tun Razak dilihat membelakangi kepercayaan rakyat ketika pilihanraya umum ke 12 lalu.

Menurut Timbalan Presiden KeADILan, Syed Husin Ali pemilihan kabinet semalam adalah mengikut kepercayaan Najib kepada mereka yang menjujungi beliau.

“Najib nampaknya menaikan individu dan kroni yang mengampu beliau sedangkan mereka yang layak dan dipilih ketika pilihanraya lalu tidak mendapat tempat,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Katanya lagi, pemilihan orang-orang baru termasuk mereka yang tidak ada pengalaman dalam kabinet sebagai menteri menunjukan Najib tidak mempunyai calon yang dipercayai oleh beliau.

“Ini menunjukkan bahawa Najib menafikan suara rakyat kerana menolak calon sokongan rakyat semasa Pilihanraya umum dan melantik orang yang patuh kepada arahan beliau,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden Pas, Husam Musa berkata, pelantikan kabinet baru membuktikan keretakan dalam Umno semakin parah, apabila hanya penyokong Najib dan Dr Mahathir sahaja yang diberi tempat.

“Sekiranya Najib meneruskan pentadbiran negara dengan ada tokoh berada ‘di belakang tabir’ ianya amat bahaya serta memberi kesan yang buruk kepada sesebuah kerajaan.

“Ini kerana kerajaan yang baik akan berdiri sendiri dan tidak sekali-kali dicucuk hidung mengikut rentak pihak lain,” katanya seperti dipetik dalam portal Harakah.

Semalam enam orang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara selepas diumumkan oleh Najib dilantik sebagai menteri.

Antaranya ialah tiga orang yang tewas dalam pilihanraya ke 12 Mac tahun lepas iaitu Shahrizat Abdul Jalil,Dr Koh Tsu Koon dan Awang Adek Husin.

Manakala tiga muka baru yang dilantik ialah Mejar Jen (B) Jamil Khir Baharom, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan seorang dari MCA Chew Mei Fun.

No comments:

Posting Terkini