Pages

Wednesday, March 11, 2009

Sudah Tiba Masanya Rakyat Bangkit

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata sudah tiba masanya rakyat bangkit dan menghayati kembali erti perjuangan kemerdekaan yang bertunjangkan ketuanan rakyat.

Menurutnya, ketuanan rakyat akan membawa kepada demokrasi matang di bawah naungan Raja Berperlembagaan.

“Kita mahukan demokrasi yang matang, bukan demokrasi yang tempang, bukan demokrasi yang kakinya dipatahkan oleh mereka yang terus ingin berkuasa meskipun telah tidak lagi didukung oleh rakyat,”katanya, tidak ada rakyat Malaysia yang sebegitu rendah akal budinya yang mahukan keluhuran perlembagaan dinodai dan kedaulatan undang-undang dicabul oleh gerombolan perasuah dan perompak harta rakyat.

Anwar berkata demikian semasa berucap dalam Pidato Kebangsaan bertajuk “Ketuanan Rakyat” di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini petang tadi.

“Perjuangan kita berpaksikan ketuanan rakyat, makanya pakatan yang kita cetuskan bersama selepas pilihan raya umum ke -12 itu dinamakan Pakatan Rakyat (PR),”katanya yang mahu mengotakan janji mereka kepada rakyat.

Walaupun baru setahun memerintah, katanya PR sudah pun meletakkan asas-asas yang teguh membawa Agenda Ekonomi Malaysia di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah di samping meneruskan khidmat cemerlangnya di Kelantan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri yang memberikan penghidupan yang lebih baik kepada rakyat dalam masa setahun,” katanya.

Menurutnya, Selangor dan Perak telah mengurangkan beban rakyat di zaman kemelesetan ini dengan memberikan air percuma kepada rumah-rumah termiskin dan Kerajaan Perak telah memberikan geran tanah kepada keluarga-keluarga yang layak secara adil termasuk untuk Orang Asli, Melayu dan juga Cina.

“Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Dato’ Seri Azizan dan negeri Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah meningkatkan keupayaan menjimat belanja mengurus dan mengagihkan dana kepada rakyat,” katanya.

Menurut Anwar, sudah tiba masa untuk menujukkan kepada rakyat apa yang menjadi pemisah antara kerajaan di dalam PR dengan BN.

Menurutnya rakyat, menerusi pilihan raya umum lalu telah memberikan peluang yang jelas ini kepada pakatan untuk mengotakan apa yang sering dilaungkan.

“Adalah wajib untuk kita menunjukkan kewibawaan kepada rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada PR,”katanya.

Sempena ulang tahun pertama pilihan raya umum ke-12 ini, majlis petang tadi turut diisi dengan ucapan khas daripada beberapa pemimpin PKR.

Antara tajuk khas yang dikupas ialah Perubahan Demografik dan Corak Pengundian Rakyat Malaysia oleh Pengarah Strategi Keadilan dan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution, Peranan Wanita Pada Detik Penentuan Sejarah Kita oleh Ahli Majlis Tertinggi Keadilan, Datin Paduka Dr Tan Yew Kew, Cabaran Bumiputera Yang Lain oleh Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri Keadilan Sarawak, Baru Bian dan Perwakilan Minoriti dan Politik Identiti oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan, Dr Irene Fernandez.

Tan dalam ucapannya berkata sejarah pembebasan wanita merupakan satu sejarah perjuangan yang panjang untuk reformasi sosial dan politik.

Katanya, aktivis wanita yang berdemonstrasi 200 tahun lalu telah mencabar sistem sosial pada masa itu.

“Mereka telah memberikan demokrasi makna yang baru dan perjuangan mereka telah berjaya memenangi hak-hak wanita yang dinikmati hari ini,” katanya, kaum wanita telah memainkan suatu peranan penting pada masa itu dan ia akan terus digalas oleh wanita.

Menurutnya pada detik penentuan sejarah kita, kaum wanita khususnya mereka yang terlibat dalam bidang politik haruslah bersedia untuk menghadapi dan menyambut cabaran yang dihadapi negara ini.

“Meskipun saya sendiri seorang wanita dan memahami apa yang dimaksudkan dengan diskriminasi gender, saya sesungguhnya percaya bahawa perjuangan kita harus melangkaui perjuangan hak-hak wanita,” katanya kunci masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia, tidak kira kaum, agama atau jantina adalah dalam tangan masing-masing.

Baru dalam ucapannya pula mengupas mengenai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Katanya, masyarakat di kedua-dua negeri itu masih lagi dibelenggu dengan kemiskinan yang daif.

Menurutnya, antara penyebab utama kemiskinan mereka berpunca daripada tiada dokumen kewarganegaraan seperti sijil kelahiran dan juga kad pengenalan.

Katanya, faktor itu menyebakan mereka (bumiputera di Sabah dan Sarawak) susah untuk mendapatkan pekerjaan dan menerima bantuan dari kerajaan seperti biasiswa dan subsidi.

Baru berkata selain dari masalah dokumen kewarganegaraan masyarakat di Sabah dan juga Sarawak turut menghadapi masalah menyatakan hak hartanah peribadi dan kemudahan-kemudahan utama seperti yang dinikmati oleh rakyat negara ini.

Sementara itu, Irene dalam ucapannya menyentuh mengenai hak-hak etnik minoriti seperti India, China, Kadazan dan sebagainya.

Menurutnya, terdapat limitasi dalam bahasa dan budaya yang membezakan mereka termasuklah dalam pendidikan yang menghalang mereka untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik

No comments:

Posting Terkini