Pages

Saturday, March 21, 2009

Sekilas Dunia dan Malaysiakini

19 maut dalam nahas bas di China

BEIJING: Seramai 19 orang terbunuh apabila bas yang sesak dengan penumpang merempuh trak pengangkut di lebuh raya yang diliputi ais di utara timur China, lapor agensi berita Xinhua semalam.

Kemalangan berlaku di jalan yang licin di wilayah Heilongjiang, petang kelmarin, apabila bas terbabit merempuh bahagian belakang trak pengangkut yang dikatakan berhenti selepas melanggar kenderaan lain.

Berdasarkan statistik polis, hampir 73,500 nyawa terkorban dalam lebih daripada 265,000 nahas jalan raya di China tahun lalu, iaitu melebihi 200 kematian sehari. -- AFP.

Kepulangan disambut baik

JAKARTA: Indonesia menyambut baik rundingan dengan seorang pemimpin pemberontak yang telah kembali ke tanah air selepas 40 tahun hidup dalam buangan.

Nicholas Jouwe, 85 tahun, pengasas bersama Gerakan Bebaskan Papua, semalam berkata beliau kembali atas undangan pemerintah.

Menurutnya, beliau bersedia berunding mengenai perjuangan kumpulannya untuk kemerdekaan. -- AP.

Tonga digegar tetapi tiada tsunami

NUKU'ALOFA (Tonga): Gempa kuat berukuran 7.9 skala Richter melanda Tonga, di Selatan Pasifik, pagi semalam, sehingga amaran tsunami dikeluarkan.

Bagaimanapun, laporan awal menyebut tidak ada kerosakan besar dikesan.

Gempa susulan 5.2 Richter juga dikesan berlaku di kawasan sama dua jam selepas gempa pertama. -- AFP.

Speakar salah guna kuasa?

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati ada elemen Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Encik V. Sivakumar, menyalah guna kuasa berhubung isu penggantungan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, dan enam ahli Exco, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata pihaknya akan memanggil lagi beberapa Adun termasuk dari Barisan Nasional (BN) bagi memberi keterangan untuk melengkapkan siasatan kes itu. -- BHM.

Dr M dijemput sebagai pemerhati

PETALING JAYA: Mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau menerima undangan menghadiri Perhimpunan Agung Umno minggu depan sebagai pemerhati tetapi belum memutuskan sama ada akan hadir atau tidak.

'Ya, saya dijemput sebagai bukan ahli Umno. Saya dijemput sebagai pemerhati. Tetapi saya belum memutuskan lagi (sama ada akan hadir atau tidak),' katanya semalam.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai semula Umno kerana Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan Presiden, Dr Mahathir berkata: 'Saya mahu lihat dulu (kerana) beliau belum mengundurkan diri lagi.' - Bernama.

Masih dengar pandangan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran masih membuka ruang mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai kedudukan muktamad dasar pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata suara dan hasrat daripada semua peringkat akar umbi akan didengar dan setiap maklum balas diteliti serta diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat.

Menurutnya, perkara itu turut dijelaskan kepada dua tokoh pejuang bahasa, Datuk Dr Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said, dalam pertemuan beliau dengan dua tokoh berkenaan di sini kelmarin. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini