Pages

Wednesday, March 18, 2009

Sekilas Berita Dunia

Mesyuarat Asean di Indonesia

JAKARTA: Satu Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) Asean akan diadakan di Manado, ibu kota wilayah Sulawesi Utara, Indonesia, dari 6 hingga 8 Mei, menurut seorang pegawai Asean.

Mesyuarat itu, yang akan turut disertai para menteri luar Asean, akan membincangkan banyak isu, kata ketua pengarah Asean, Encik Djauhari Oratmangun, semalam.

Ini termasuk konflik di selatan Filipina dan negara lain Asean, pembalakan haram, pencerobohan nelayan, dan jenayah rentas sempadan. -- Agensi.

Lempar bom ke balai polis

BEIJING: Sekumpulan penyerang membaling sebutir bom ke sebuah balai polis yang baru dibina di bandar Bogexi, daerah Batang, di wilayah Ganzi, Tibet, semalam.

Serangan berlaku selepas ulang tahun pertama rusuhan di Lhasa, ibu kota Tibet, pada 14 Mac tahun lepas.

Menurut polis, tiada sesiapa dilaporkan cedera. - AP, AFP.

Lima ahli parti Suu Kyi ditahan

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar telah menahan lima anggota Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Cik Aung San Suu Kyi, menurut laporan semalam.

Empat lelaki dan seorang wanita diberkas minggu lepas di bandar Yangon, kata jurucakap NLD, Encik Nyan Win.

Mereka yang ditahan termasuk Encik Kyi Lwin yang diserang angin ahmar tahun lepas kata seoang pegawai lain, Encik Han Tha Myint.

'Kami tidak tahu kenapa mereka ditangkap. Keluarga diberitahu pihak berkuasa membawa mereka untuk disoal,' kata Encik Han Tha. -- AP, AFP.

Usul bersama atasi pengganas

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam mencadangkan kepada Kesatuan Eropah (EU) agar menerima satu pendekatan bersama bagi memerangi pengganasan, dan mengetepikan perbezaan pendapat mengenai perang Iraq dan penjara Guantanamo Bay, kata para pegawai EU.

Perkembangan itu berlaku semasa dua pihak itu membincangkan hasrat Amerika agar EU menerima tahanan dari penjara tentera Amerika di Guantanamo Bay, Cuba.

Pesuruhjaya Tinggi Keselamatan dan Kehakiman Eropah, Encik Jacques Barrot, berkata:

'Kami akan menerima mana-mana tahanan hanya jika kami diberi jaminan bahawa kesilapan masa lalu tidak lagi berulang.' - Reuters.

Rundingan tukar tahanan gagal

BAITULMAKDIS: Rundingan saat akhir mengenai pertukaran tahanan Israel-Hamas menemui kegagalan semalam selepas dua pihak itu saling menuduh pihak lawan mungkiri janji.

Rundingan berkisar pada pembebaskan seorang askar Israel, Sarjan Gilad Shalit, yang diculik Hamas di Gaza pada Jun 2006, sebagai tukar ganti bagi pembebasan ratusan tahanan Palestin.

Perdana Menteri Israel menuduh pemimpin Hamas di Jaluran Gaza mempertegar pendirian mereka dan membuat tuntutan melampau.

Hamas sebaliknya berkata dua duta Israel yang berunding di Kahirah, Mesir, tidak membuat sebarang tawaran baru yang serius. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini