Pages

Wednesday, March 18, 2009

MAKMAL PERIKSA PELAWAT SECARA BIOMETRIK DI 'PINTU MASUK'

SINGAPURA sedang mengusahakan satu projek besar bagi menubuhkan sebuah makmal untuk memeriksa pelawat melalui kaedah biometrik, profil kelakuan dan analisis bio-isyarat di pusat-pusat pemeriksaan daratnya.

Ia diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, di acara perasmian persidangan dan pameran Keselamatan Global Asia 2009 semalam di Singapore Expo.

'Sebagai contoh, kita akan meninjau sama ada biometrik pelbagai cara, contohnya cap jari, mengenal pasti wajah, cap telapak tangan, retina, iris, corak suara, tanda tangan, telinga, gaya jalan, tekstur kulit dan urat jari boleh digunakan bagi mengenal pasti para pelawat yang mempunyai risiko keselamatan dengan lebih berkesan,' kata Encik Wong.

Selain meningkatkan tahap keselamatan di pintu-pintu masuk negara, Encik Wong turut menekankan perlunya melindungi pantai Singapura.

Dalam hal tersebut, Encik Wong berkata bahawa keupayaan pasukan Polis Pengawal Pantai (PCG) akan ditingkatkan bagi menentang dan menghalang ancaman-ancaman dari arah laut.

'Kami akan membeli 10 bot kawalan pantai (CPC) yang baru dan akan melengkapkan mereka dengan sistem pemantauan, sistem radar dan peralatan yang lebih baik untuk mengesan dan memantau perjalanan kapal.

'Kami juga akan meningkatkan latihan para pegawai PCG kami dengan adanya sebuah Pusat Latihan Taktikal Bersepadu tahun ini,' tambah Encik Wong.

Namun menurut beliau, keupayaan teknologi saja tidak cukup untuk mengesan dan mengawal ancaman pengganasan.

'Rakyat kita merupakan kunci dalam memerangi pengganasan kerana tidak mungkin bagi pemerintah seorang diri menangani segala ancaman keselamatan.

'Inilah sebab mengapa kita memberi penekanan terhadap penglibatan masyarakat di dalam pencegahan, perlindungan dan pengurusan dalam menghadapi serangan pengganas dan mengurangkan kerosakan,' kata Encik Wong.

Selain Hari Persiapan Kecemasan (EP) yang diperkenalkan bagi menyiapkan masyarakat bagi ancaman-ancaman seperti bom dan kimia, Encik Wong turut memberitahu hadirin mengenai satu lagi latihan simulasi yang akan diadakan bagi masyarakat dan sektor perniagaan.

'Tahun ini, Latihan Northstar VII akan berdasarkan senario pengganasan serupa dengan serangan di Mumbai. Polis akan menjalankan latihan tersebut dengan kerjasama pelbagai agensi pemerintah dan pertubuhan swasta untuk menguji dan meningkatkan respons bukan saja daripada pihak pemerintah tetapi juga masyarakat dalam insiden-insiden demikian,' kata Encik Wong.

Sejauh ini, dua latihan Northstar V dan VI telah dijalankan pada 2006 dan 2008.

Persidangan dan pameran Keselamatan Global Asia 2009 yang berlangsung hingga esok telah menarik hampir 160 peserta pameran dan lebih 50 penceramah antarabangsa.

No comments:

Posting Terkini