Pages

Thursday, March 5, 2009

JURUTERBANG DIDENDA $800 KERANA CURI MINYAK WANGI

Singapura: SEORANG juruterbang yang mencuri empat botol minyak wangi di Mustafa Centre Selasa lalu dikenakan hukuman denda sebanyak $800.

Puneet Alagh, 36 tahun, warganegara India, mengaku salah mencuri minyak wangi bernilai $271 di pasar raya yang dibuka 24 jam di Syed Alwi Road itu.

Mahkamah diberitahu semalam bahawa seorang pengawal keselamatan telah melihat Puneet berkelakuan mencurigakan di tingkat dua pasar raya tersebut.

Puneet dilihat membawa berapa barangan yang ingin dibeli termasuk sekotak minyak wangi berjenama Estee Lauder Pleasure di dalam bakul beli-belah Mustafa.

Dia kemudian dilihat mengeluarkan botol minyak wangi daripada kotaknya dan memasukkannya ke dalam saku kanan seluar jeansnya.

Selepas itu, dia mengambil sekotak lagi minyak wangi berjenama Calvin Klein Escape dan turut mengeluarkan botolnya daripada kotak dan memasukkannya ke dalam saku seluarnya.

Mahkamah diberitahu Puneet ditahan di luar pasar raya itu dan anggota keselamatan menemui empat botol minyak wangi daripadanya.

Dia memberitahu mahkamah bahawa dia merupakan juruterbang dengan Air India dan menyesali tindakan yang dilakukannya itu.

Di bawah kesalahan tersebut, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda.

No comments:

Posting Terkini