Pages

Thursday, March 12, 2009

ANAK MELAYU TEMPA NAMA DALAM REKAAN GRAFIK DI PERSADA DUNIA

IKLAN yang dihasilkan Encik Mukhsin Hanifiah bukan calangcalang - untuk syarikat fesyen dan kosmetik ternama dunia seperti Topshop, Lancome, Hogan dan TODs.

Yang menariknya, tidak ramai mengetahui warga Singapura berusia 31 tahun itu secara diam-diam mengukir nama di persada antarabangsa dalam bidang seni rekaan grafik.

Sejak lima tahun lalu, beliau bertugas sebagai pengarah seni dengan syarikat Saturday London - sebuah agensi kreatif menawarkan khidmat pengiklanan dan pemasaran jenama.

Dalam wawancaranya dengan Berita Harian baru-baru ini, lulusan sarjana dari Royal College of Arts London itu mengakui bahawa cabaran yang ditempuhinya penuh berliku.

Lebih dikenali sebagai Mooks Hanifiah, beliau memulakan pengajian sarjana mudanya di London College of Printing pada 1998 selepas mendapati Singapura ketika itu tidak mempunyai institut pengajian tinggi yang menawarkan kursus seni reka di peringkat ijazah.

Ini dilakukannya meskipun bekas pelajar Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) itu sedar bahawa peluang kerjaya dalam seni grafik tidak begitu cerah.

Di London College of Printing, beliau mengikuti kursus tipografi.

Setelah meraih ijazah sarjana muda seni grafik, Encik Mukhsin berjaya mendapat tempat di Royal College of Arts London.

Tetapi kekurangan wang hampir menghambat beliau daripada meneruskan cita-citanya itu kerana yuran kolej tersebut adalah sebanyak £pounds;16,000 ($34,000) setahun.

'Ketika mendapat tahu saya diterima masuk, saya tidak tahu apakah reaksi yang harus saya beri.

'Saya bangga kerana saya diberi peluang menimba ilmu di sebuah maktab berprestij, tetapi saya bimbang bagaimana saya harus membayar yuran kolej itu,' ujarnya yang cuba mendapatkan bantuan kewangan sebuah badan di sini tetapi gagal.

Mujur ibu bapanya, Encik Mohd Hanifiah Tak dan Cik Mariah Haron, sanggup berkorban demi memastikan cita-cita anaknya tercapai.

'Ibu bapa saya menasihatkan saya supaya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran, sementara mereka memikirkan tentang yuran tinggi yang perlu dibayar itu,' kata Encik Mukhsin.

Untuk meringankan beban kewangan yang ditanggungnya, Encik Mukhsin melakukan beberapa kerja sambilan, antaranya menjadi pereka kreatif di agensi David James Associate, sebuah syarikat yang sangat berpengaruh dalam dunia fesyen.

Semasa di firma tersebut, beliau berpeluang bekerjasama menghasilkan iklan berjenama terkenal seperti Louis Vuitton dan Prada.

Setelah tamat pengajiannya, beliau berkerja dengan Saturday London hingga kini.

Ibunya, seorang guru Bahasa Melayu di United World College, percaya dengan bakat anak sulungnya itu.

'Mukhsin sememangnya seorang yang berbakat.

'Beliau mengetahui apa yang ingin beliau perolehi dan bekerja keras untuk mencapainya. Kami sebagai ibu bapa sangat bangga dengan kejayaannya itu,' ujar ibunya yang tinggal di Jurong West.

No comments:

Posting Terkini