Pages

Saturday, February 21, 2009

SEKILAS - DUNIA dan MALAYSIAKINI

Hakim Texas disiasat

WASHINGTON: Suruhanjaya undang-undang memulakan siasatan ke atas seorang hakim Texas yang membiarkan hukuman mati dijalankan ke atas seorang lelaki tanpa menerima rayuan terakhirnya kerana ia dikemukakan selepas waktu pejabat.

Hakim Sharon Keller dituduh 'bertindak secara sengaja... untuk menyebabkan pihak kehakiman dan pentadbiran keadilan disangsi orang awam'.

Jika sabit kesalahan, Hakim Keller boleh dipecat. -- AFP.

Pencakar langit di China terbakar

BEIJING: Sebuah bangunan pencakar langit di bandar Guangzhou, selatan China, terbakar pagi semalam menyebabkan gumpalan asap hitam menyelubungi bandar. Namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Kebakaran di bangunan pejabat Fuli Yingtai setinggi 25 tingkat itu bermula 10.20 pagi waktu tempatan dan berjaya dipadamkan 20 minit kemudian, kata laporan laman web Guangzhou Daily. -- AFP.

PM Thailand lawat Indonesia

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, semalam berlepas ke Indonesia bagi membincangkan isu dua hala termasuk layanan ke atas etnik Rohingya.

Thailand dikritik atas dakwaan pasukan keselamatannya mendera golongan itu sebelum membiarkan bot mereka hanyut di laut.

Menurut Encik Abhisit, Indonesia bersetuju membincangkan isu itu pada sidang puncak Asean yang bakal diadakan di Thailand pada 27 Februari ini. -- AFP.

Kru pesawat kargo maut

KAHIRAH: Lima kru pesawat kargo Ukraine terbunuh apabila kebakaran berlaku di dalam pesawat itu semasa berada di landasan di bandar selatan Luxor.

Kebakaran itu berlaku apabila pesawat Antonov An-12 itu sedang bersiap untuk berlepas selepas mengisi minyak di lapangan terbang Luxor. -- AP.

PAS bidas AP sendiri

KOTA BHARU (Kelantan): Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang tidak berpuas hati dengan kelantangan ahli parlimennya bagi Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, mengkritik parti itu, meminta beliau meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, menyifatkan tindakan Encik Ibrahim sebagai tidak mengenang budi dan berkata beliau tidak sepatutnya sering menghentam PAS seolah-olah beliau sahaja yang betul. -- Bernama.

Karpal lapor dapat dua peluru

PULAU PINANG: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Karpal Singh, semalam membuat laporan polis berhubung sepucuk surat dan dua butir peluru hidup yang dimasukkan di dalam peti suratnya kelmarin.

Beliau, yang membuat laporan itu di ibu pejabat polis Pulau Pinang dengan ditemani anaknya, Encik Jagdeep Singh Deo, berkata peluru bersama satu nota di dalam satu sampul surat itu ditemui oleh keraninya pagi kelmarin. -- Bernama.

1 comment:

Unknown said...

With BeeNed no Hope lah

Posting Terkini