Sekeping gambar tiga butir peluru, 'penculikan' dan rakaman pita televisyen litar tertutup (CCTV).
Itulah antara bukti yang dipamer atau disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi parlimen kelmarin untuk menyokong dakwaan beliau bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan rasuah dan taktik tidak beretika lain untuk menarik minat anggota pembangkang berpaling tadah.
Datuk Seri Anwar mendakwa walaupun laporan-laporan polis dibuat para pegawai tinggi kerajaan sengaja tidak mengambil tindakan.
Turut dipetik beliau sebagai mendakwa amalan rasuah boleh dikesan daripada timbalan perdana menteri, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Seri Anwar tidak menunjukkan rakaman CCTV itu di parlimen, tetapi semasa ditanya selanjutnya oleh para pemberita adakah beliau ada rakaman itu, Datuk Seri Anwar berkata: 'Anda akan tahu pada masa yang wajar.'
'Saya memberikan yang benar dan fakta-faktanya, percubaan yang dijalankan oleh kepimpinan Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan para pemimpin yang mengancam, menculik dan menawarkan rasuah, ini hanya meneruskan rekod dan tradisi rasuah yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan,' kata Datuk Anwar di parlimen.
Beliau kemudian memberitahu parlimen bagaimana wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Kulim, Encik Lim Soo Nee, bersetuju dijadikan 'pancing' dan bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) (kini dinamakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, atau SPRM) untuk mendapatkan bukti dakwaan percubaan rasuah yang dibuat oleh ejen-ejen mantan menteri besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid, untuk mengundang pembangkang berpaling tadah.
Datuk Seri Mahadzir menawarkan sehingga RM5 juta ($2.1 juta) untuk menarik anggota pembangkang berpaling tadah, dakwa Datuk Seri Anwar, sebagaimana dilaporkan The Malaysian Insider.
Satu rakaman CCTV didakwa menunjukkan satu pertemuan antara Encik Lim dengan Datuk Seri Mahadzir di sebuah hotel di Seberang Jaya pada akhir tahun lalu.
Datuk Seri Anwar juga menunjukkan gambar tiga peluru yang dihantar kepada wakil rakyat PKR bagi Bakar Arang, Encik Tan Wei Shu, yang telah membuat laporan polis kerana enggan berpaling tadah.
Beliau menyentuh juga tentang tiga laporan polis oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, Encik V. Arumugam, yang mendakwa mengenai gangguan berkali-kali, termasuk ancaman beliau mungkin menjadi seperti bekas wakil rakyat Lunas, Encik Joe Fernandez, jika beliau meneruskan kegiatan politiknya, kata Datuk Anwar.
Encik Fernandez mati selepas ditembak tiga kali pada 2000.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment