KOTA BAHARU: Kira-kira setahun lalu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dilihat sebagai pemimpin lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi termasuk menggesa segera menyerahkan kepimpinan parti dan kerajaan ekoran prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke-12.
Hari ini, beliau meminta semua rakyat terutamanya ahli Umno menghormati Perdana Menteri itu sebagai pemimpin agung selepas era kepimpinannya, apabila berakhir Perhimpunan Agung Umno, Mac ini.
"Jangan lagi perlakukan Pak Lah seperti mana yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir kerana akhirnya Umno akan dibenci rakyat kerana tidak menghormati pemimpin.
"Kita mesti memberikan penghormatan tinggi kepada Pak Lah kerana dia adalah Perdana Menteri dan pemimpin kita," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenal caloncalon kepada perwakilan Pemuda Umno Kelantan di Bangunan Umno di sini, hari ini.
Sebelum itu, pelbagai pihak dalam Umno termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah mengecam tindakan Mukhriz yang meletakkan syarat agar Abdullah berundur daripada semua jawatan sebelum Julai 2008.
Tegas Hishammuddin, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen dan Exco Pergerakan Pemuda Umno tidak wajar memberikan syarat-syarat sedemikian.
Bagaimanapun, Hishammuddin tetap mengakui bahawa kata dua Mukhriz itu sebagai satu bentuk ancaman kepada parti.
"Proses peralihan kepimpinan parti tidak akan berjalan lancar sekiranya kita meletakkan desakan dan ugutan,” katanya lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment