PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru sahaja selesai menghantar borang pencalonan bagi bertanding jawatan Presiden pada pukul 4:20 petang tadi.
Borang tersebut diserahkan kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini oleh Setiausaha Politiknya Datuk Shafie Abdullah.
Najib sebelum ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden parti setelah mendapat 141 pencalonan melepasi kuota kelayakan 58.
Dalam pada itu memetik sumber Bernama, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun Najib tidak ada pencabar (untuk jawatan Presiden)beliau tetap perlu mengikut Perlembagaan Umno.
"Najib terpaksa isi borang ini(penerimaan jawatan)sebagai bukti beliau bersedia menerima pencalonan daripada bahagian-bahagian," kata Tengku Adnan.
Menurut Pembantu Khas kepada Setiausaha Agung, Junaidah Abu Bakar turut mengesahkan kesemua calon Timbalan Presiden telah pun menghantar borang penerimaan pencalonan jawatan masing-masing minggu ini.
Tiga orang calon Timbalan Presiden yang layak bertanding terdiri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin,Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Selain itu, kesemua calon Naib Presiden juga telah menghantar borang penerimaan pencalonan jawatan tersebut.
Calon-calon yang sudah melepasi had kelayakan bertanding jawatan Naib Presiden ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Isa Abdul Samad,Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Semalam, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sah bertanding jawatan Ketua Wanita Umno menentang Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Kamilia Ibrahim menang jawatan Naib Ketua tanpa bertanding.
Ketika ditanya siapakah calon yang telah menarik diri Junaidah berkata hanya dua orang calon menarik diri daripada bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi parti, mereka adalah Datuk Anifah Aman dan Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin.
Anifah dan Aziz yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi sebelum ini mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.
Menurut Junaidah, bagi jawatan Exco Wanita terdapat dua orang yang sudah menghantar borang penolakan pencalonan kepada ibu pejabat parti.
"Mereka adalah Raja Ropiah Raja Abdullah yang juga Ketua Wanita bahagian Petaling Jaya Utara dan Datin Paduka Mesrah Selamat, Ketua Wanita bahagian Kuala Selangor.
"Bagi sayap Puteri dan Pemuda, tiada calon yang menghantar borang penolakan setakat ini.
“Hampir 70 peratus borang penerimaan telah kami terima setakat ini dan baki 30 peratus lagi mungkin akan diterima hari ini.
“Tarikh tutup untuk semua calon menghantar borang penerimaan atau penolakan bagi jawatan-jawatan yang diterima pencalonan itu adalah esok,” katanya.
Calon-calon yang layak bertanding untuk mengisi jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan exco pergerakan mempunyai tempoh sehingga pukul 12 malam ini untuk menyerahkan surat pengesahan atau penolakan mereka setelah surat dan borang tersebut dikeluarkan pada 29 Januari lepas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment