SEOUL: Korea Utara mengatur kedudukan peluru berpandu jarak sederhana yang mampu mengenai sasaran di utara Australia, Russia, Guam dan India.
Negara itu turut menambah bilangan askarnya kepada sekitar 1.2 juta orang.
Laporan Kementerian Pertahanan Korea Selatan itu didedahkan semalam di sebalik adanya spekulasi bahawa rejim Komunis itu sedang bersedia menguji satu lagi peluru berpandu jarak jauh yang mampu mengenai sasaran sejauh Alaska.
'Tindakan Korea Utara membangunkan dan menguatkan senjata konvensional, serta senjata pemusnah raya seperti nuklear dan peluru berpandu serta pengerahan askarnya merupakan ancaman langsung dan serius ke atas keselamatan kita,' kata laporan itu.
Laporan itu bagaimanapun tidak mendedahkan butir lanjut seperti di mana dan bila peluru berpandu jarak sederhana ini dikerahkan serta lokasi pelancarannya.
Korea Utara membangunkankan peluru berpandu sejak lewat 1990-an.
Program peluru berpandu Korea Utara membentangkan keprihatinan keselamatan di rantau ini.
Negara itu menguji peluru berpandu Taepodong-2 pada 2006 tetapi ia jatuh ke laut tidak lama selepas ia dilancarkan.
Ujian itu menggemparkan dunia dan menjadi mangkin untuk memulakan semula rundingan diplomasi bagi mendesak Korea Utara melupuskan senjata nukearnya.
Menurut laporan Kementerian Pertahanan Korea Selatan lagi, jumlah askar Korea Utara meningkat sebanyak 20,000 kepada 1.19 juta sejak 2006.
Negara itu turut menambah pelancar roketnya sebanyak 300 kepada 5,100 dalam tempoh dua tahun lalu. Selain daripada itu, Korea Utara dikatakan mempunyai antara 2,500 dengan 5,000 tan senjata kimia.
Jumaat lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, dalam kenyataannya semasa berada di Seoul, Korea Selatan, memberi amaran keras kepada Korea Utara supaya menghentikan tindakan provokasinya.
Menurut beliau, perang mulut antara Korea Utara dengan Korea Selatan tidak akan membantu negara Komunis itu dalam usaha menjalin hubungan baru dengan Washington.
Beliau menegaskan sebarang ujian peluru berpandu akan melanggar ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -- AFP, AP.
Tuesday, February 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment