Pages

Tuesday, February 24, 2009

Bukit Lanjan: Pertarungan Politik Yang Patut Dielakkan?

KUALA LUMPUR, 24 Feb-- Pilihan raya kecil di Bukit Lanjan? Pemimpin dan jentera pilihan raya politik kerajaan dan pembangkang sama-sama memberikan isyarat yang mereka kurang cenderung untuk pertarungan itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok untuk mendapatkan nasihat baginda mengenai tawaran anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong untuk meletakkan jawatan sebagai anggota majlis kerajaan negeri dan wakil rakyat Bukit Lanjan.

Wong dilanda kontroversi ekoran pengedaran gambar bogelnya baru-baru ini. Beliau sejak itu telah dinasihatkan bercuti.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin parti dari Barisan Nasional (BN) dan pakatan PKR-DAP-PAS semasa ditemui Bernama menyatakan lebih suka jika pilihan raya kecil tidak diadakan di kawasan itu.

Pilihan itu dibuat berikutan dua pilihan raya kecil bakal diadakan di Perak dan Kedah, kedua-duanya dijadual diadakan serentak pada 7 April.

Pemimpin berkenaan berkata mereka tidak mahu jentera pilihan raya mereka diagih-agihkan kerana jika pilihan raya kecil diadakan di Bukit Lanjan, besar kemungkinan ia akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah membayangkan baru-baru ini bahawa jika kerusi DUN Bukit Lanjan dikosongkan, pilihan raya kecil bagi kawasan itu mungkin diadakan serentak dengan dua lagi pilihan raya kecil.

"Ini bukan bermakna yang kami kurang yakin untuk menang, tetapi secara praktikalnya ia tidak begitu sesuai. Tidak diragukan yang kemenangan akan meningkatkan semangat kami tetapi anda perlu ingat ia juga akan memberikan tekanan kepada jentera kami untuk menghadapi tiga pilihan raya kecil serentak," kata seorang pemimpin DAP Selangor.

Sementara PKR-DAP-PAS di Selangor bimbang dengan jentera mereka, beberapa pemimpin BN juga kurang senang dengan pilihan raya kecil di Bukit Lanjan.

Mengakui yang Bukit Lanjan adalah kerusi mencabar untuk ditandingi, seorang pemimpin BN berkata beliau lebih suka untuk menumpukan pada kempen di kedua-dua pilihan raya kecil, khususnya di Bukit Gantang, di mana BN mempunyai peluang lebih cerah untuk menawan kerusi itu.

"Saya tidak fikir kami adalah parti tunggal yang kurang suka jika pilihan raya kecil diadakan di Bukit Lanjan. Parti lain juga mempunyai pendapat yang sama," kata pemimpin itu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR Tian Chua percaya BN kurang berminat dengan pilihan raya di Bukit Lanjan kerana ia kurang yakin untuk menang di kerusi itu.

"Saya juga dapati yang BN seolah-olah mengelak daripada menggunakan isu Eli Wong untuk mencorakkan pendapat orang ramai. Mereka tidak mahu perkara itu menikam diri mereka kelak," katanya.

Sementara itu bekas pengerusi Gerakan Selangor Datuk Lum Weng Keong berkata tawaran Wong untuk meletakkan jawatan adalah berpunca daripada masalah peribadi dan perjuangan beliau dalam parti.

"Ia merupakan masalah dalaman mereka," katanya.

Sementara terdapat kepercayaan bahawa PKR kemungkinan akan mengekalkan kerusi itu sekiranya diadakan pilihan raya kecil di kawasan itu, masih belum pasti jika parti itu mampu mengekalkan majoriti sama kerana purata jumlah yang mengundi dalam pilihan raya kecil biasanya lebih rendah berbanding pilihan raya umum.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Wong, aktivis hak asasi manusia dan alam sekitar, memenangi kerusi Bukit Lanjan dengan majoriti 5,155 undi, undi majoriti kedua terbesar dimenangi calon PKR di Selangor.

Beliau memperoleh 12,125 undai berbanding penyandang Yong Dai Ying dari BN, yang mendapat 6,970 undi.

Kebanyakan daripada 25,550 pengundi di Bukit Lanjan ialah bukan Melayu - dengan Cina mewakili 52.8 peratus, Melayu 31.8 peratus, India 14.7 peratus dan kaum lain 0.7 peratus.

Sebanyak 51 peratus daripada jumlah pengundi adalah wanita.

Kawasan Bukit Lanjan meliputi Bandar Utama, Bandar Sri Damansara dan Kayu Ara, dengan populasi kira-kira 50,000.

Daripada jumlah populasi itu, 25 peratus terdiri daripada kumpulan pendapatan rendah yang tinggal di Kampung Sungai Kayu Ara dan pangsapuri kos rendah Pelangi Damansara. Kumpulan berpendapatan tinggi pula merupakan 35 peratus daripada penduduk yang tinggal di Bandar Utama, Damansara Perdana dan Bandar Sri Damansara, manakala baki 40 peratus lagi ialah kumpulan berpendapatan pertengahan.

Apa pun, seperti ditegaskan oleh setiausaha agung Gerakan Teng Chang Yeow, PKR yang akan membuat keputusan sama ada mereka mahukan pilihan raya kecil Bukit Lanjan.

"Jika mereka memutuskan pilihan raya kecil patut diadakan, pastinya kita perlu hadapinya," katanya.

Kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR-DAP-PAS Selangor kini menguasai 36 daripada 56 kerusi DUN. Bakinya dikuasai BN.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini