Pages

Thursday, February 19, 2009

AS MULA MISI DEKATI DUNIA ISLAM

JAKARTA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, tiba di Indonesia semalam membawa misi memulihkan hubungan Amerika dengan Dunia Islam.

Namun, ketibaannya dicemari dengan tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika di Jakarta oleh sekitar 100 anggota kumpulan tegar, Hizbut Tahrir, yang mendakwa lawatan itu bertujuan memecah-belahkan umat Islam.

Sekitar 100 pelajar Islam pula mengadakan rapat di luar Istana Presiden dengan segelintir mereka melaungkan Allahuakbar dan melontar kasut ke arah gambar Cik Clinton.

Sebagai langkah keselamatan, polis telah mengerahkan 2,800 pegawainya untuk mengawal keadaan di ibu kota.

Indonesia merupakan destinasi kedua Cik Clinton dalam rangka lawatan ke empat negara di Asia.

Negara itu mempunyai kaitan yang rapat dengan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, yang menghabiskan empat tahun di negara itu semasa zaman kanak-kanaknya.

Antara mereka yang menyambut ketibaan Cik Clinton di lapangan terbang di sini semalam ialah 44 kanak-kanak dari sekolah rendah yang pernah Encik Obama menjadi muridnya.

Semalam, beliau bertemu dengan Menteri Luar Indonesia, Encik Hassan Wirajuda, bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan isu antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Dalam satu sidang akhbar bersama Encik Wirajuda, Cik Clinton berkata pentadbiran Encik Obama 'ingin mendekati seluruh dunia' dan Indonesia memainkan peranan penting dalam usaha itu.

'Indonesia, sebagai negara Islam yang terbesar di dunia dan negara demokrasi ketiga terbesar, tentunya akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan masa depan yang dikongsi bersama ini,' kata Cik Clinton.

Beliau menarik perhatian beberapa bidang kerjasama yang boleh diterokai dan dipertingkat, seperti ekonomi sejagat, perubahan iklim, keselamatan dan hak asasi kemanusiaan.

Cik Clinton menambah adalah penting bagi Amerika 'menyokong sebuah negara yang telah menunjukkan dengan jelas bahawa Islam, demokrasi dan pemodenan bukan hanya boleh wujud bersama, malah berkembang.'

Mengulas, Encik Wirajuda berkata Indonesia menyambut baik sokongan Amerika, sedang negara-negara di Asia Pasifik meneroka pendekatan diplomasi yang baru.

Semalam, Cik Clinton turut melawat Sekretariat Asean di sini dan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan.

Hari ini, Cik Clinton dijadual menemui Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sebelum berlepas ke Korea Selatan dan China.

Kelmarin, semasa berucap kepada para pelajar di Jepun, Cik Clinton membayangkan cabaran yang bakal dihadapi Washington dalam usaha mendekati Dunia Islam.

'Kami mempunyai tanggungjawab untuk bersuara dan bekerjasama dengan Dunia Islam bagi mencatatkan perubahan positif di samping mendapatkan bantuan penganut Islam di serata dunia bagi menentang pengganasan. Dan adalah sangat sukar untuk berbuat demikian di banyak negara di dunia,' katanya.

Beliau akur perang di Iraq merupakan tembok penghalang bagi Amerika menjalin hubungan lebih baik dengan Dunia Islam.

Para pegawai Amerika berkata semasa lawatan dua hari di Indonesia, Cik Clinton ingin menunjukkan penghargaan Washington atas usaha Jakarta menangani pengganasan, terutama terhadap kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

JI telah melancarkan beberapa pengeboman nekad ke atas sasaran Barat di Indonesia sejak 2002, menyebabkan lebih 240 orang terkorban, ramai antara mereka pelancong asing.

Cik Clinton juga dijangka mengumumkan beliau akan menghadiri persidangan keselamatan Asean tahun ini.

Mantan Setiausaha Negara Amerika, Cik Condoleezza Rice, sebelum ini tidak menghadiri Forum Serantau Asean dua kali sepanjang empat tahun beliau memegang jawatan itu. -- AFP, AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini