Pages

Sunday, January 11, 2009

Terengganu Berpotensi Jadi Pusat Pelancongan Utama

Pemandangan di Gold Coast (Australia)

KUALA LUMPUR, 9 Jan-- Terengganu, sebuah negeri yang menarik dengan pesisir pantai memutih memanjang yang mengadap Laut China selatan.

Ia juga syurga tropika yang belum lagi dicemari dengan pembangunan moden dan pencemaran alam sekitar.

Ia juga terlindung daripada tsunami -- tempat yang sesuai untuk merehatkan diri.

Presiden Persatuan Pelabur Malaysia, Datuk Dr P.H.S. Lim berkata negeri itu mempunyai potensi besar untuk pelancongan.

"Ia boleh dimajukan menjadi destinasi pelancongan tropika kelas pertama bagi menyaingi Bali (Indonesia), Phuket (Thailand), Sanya (China) atau Gold Coast (Australia)," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk menjadi pusat pelancongan popular, negeri itu memerlukan prasarana yang besar, hotel, resort, promosi acara antarabangsa dan publisiti bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

"Ia memerlukan lebih daripada tarikan Monsoon Cup dan penyu belimbing gergasi di Rantau Abang, yang merupakan satu daripada hanya enam lokasi di dunia yang dilawati penyu ini dari Mei hingga September," katanya.

Beliau berkata pelancongan merupakan satu industri yang besar dan pada 2009, Malaysia dijangka menarik lebih 20 juta pelancong.

Potensi lain, katanya, adalah negeri itu memanfaatkan pesisir pantainya yang panjang bagi mengawal kuasa angin untuk menjana elektrik.

"Angin yang kuat dari Laut China Selatan boleh dikawal menjadi kuasa tenaga, kerana ia sentiasa ada sepanjang tahun," katanya.

Beliau berkata negeri itu dengan penduduk seramai kira-kira 1.2 juta orang, boleh menukar imejnya sebagai antara negeri termiskin di Malaysia.

"Ia mempunyai sumber minyak dan gas. Industri utama Terengganu kini merangkumi aktiviti petroleum dan gas asli.

"Terdapat kompleks petrokimia yang besar di Paka dan Kerteh, melibatkan banyak usaha sama antara syarikat minyak nasional Malaysia, Petroliam Nasional Bhd dengan syarikat multinasional asing.

"Ia mempunyai peruntukan royalti petroleum untuk membangunkan prasarana," katanya.

Lim berkata perikanan juga merupakan industri utama di Terengganu.

Pertanian, katanya, masih penting dengan pisang, rambutan, durian, tembikai dan pelbagai buah-buahan lain dan sayur-sayuran tersedia mengikut musim.

Beliau berkata Terengganu secara tradisinya terkenal dengan pembuatan perahu.

"Perahu kayu dengan ukiran menarik yang dipanggil "bangau", boleh didapati di tambatan setiap kampung dan bandar tidak lama dahulu sebelum nelayan tempatan bertukar kepada bot motor elektrik," katanya.

Lim berkata Terengganu memerlukan kerajaan yang cekap dan mesra perniagaan.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini