Pages

Friday, January 23, 2009

Arif Shah akur Umno negeri tolak pelawaan Pakatan sertai jawatankuasa

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah akur dengan keputusan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yang menolak pelawaan kerajaan negeri dikuasai Pakatan Rakyat kepadanya untuk mengganggotai sebuah jawatankuasa yang baru ditubuhkan.

Arif Shah berkata, beliau percaya Umno negeri mempunyai sebab yang munasabah untuk menolak pelawaan Pakatan Rakyat bagi menganggotai jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Kebebasan Maklumat itu.

"Tidak mengapa. Saya akur dengan apa sahaja keputusan parti dan tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Selasa lalu, Arif Shah dari Barisan Nasional (BN) dipelawa oleh kerajaan negeri untuk menganggotai jawatankuasa tersebut yang turut dianggotai pelbagai pihak lain termasuk ahli akademik dan pengamal media.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Abdul Malik Abul Kasim berkata,pelawaan itu tiada kaitan dengan politik sebaliknya ia bagi membolehkan kerajaan negeri berkongsi pendapat bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Arif Shah berkata, beliau sebenarnya berasa sangsi dengan kewujudan jawatankuasa itu kerana ia kelihatan seperti mahu mengawal kebebasan penyebaran maklumat di negeri itu.

"Jika ada undang-undang (penubuhan jawatankuasa), maknanya mahu diadakan sekatan dan ini bermakna semua yang mahu disiarkan atau dicetak selepas ini termasuk oleh media dan pertubuhan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri.

"Justeru saya sangsi, mengapa perlu ada sekatan ini sedangkan sebelum ini ketika kerajaan BN memerintah, kita tidak pernah sekat apa-apa maklumat," katanya.

Arif Shah berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut tidak relevan dan hanya merupakan gimik politik oleh Pakatan Rakyat.

"Pada saya, ia hanya gimik politik kerana kita sudah ada KDN (Kementerian Dalam Negeri) yang memberi garis panduan dan permit berhubung apa jua maklumat yang ingin disiarkan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri mempunyai niat yang baik mempelawanya menyertai jawatankuasa itu.

Arif Shah berkata, kerajaan negeri telah mengetahui penolakan Umno terhadap pelawaan itu dan beliau juga akan menghantar surat jawapan balas selewat-lewatnya Isnin ini.

"Mungkin hari ini atau Isnin ini, saya akan membalasnya bagi menyatakan penolakan terhadap pelawaan kerajaan negeri itu," katanya.

Arif Shah sebelum ini pernah dikaitkan dengan desas-desus bahawa beliau akan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas mendapat tawaran daripada parti itu.

Pada Ogos tahun lalu, beliau bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh berhadapan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun tewas.

No comments:

Posting Terkini