Pages

Saturday, January 24, 2009

2 parah bas terbalik selepas rempuh kereta

SUNGAI PETANI 24 Jan — Dua orang parah manakala lapan yang lain cedera ringan apabila sebuah bas ekspres terbalik selepas merempuh sebuah kereta di kilometer 90.6 Lebuhraya Utara Selatan di sini, pagi tadi.

Mereka yang parah ialah pemandu kedua bas berkenaan, Baseri Jusoh, 52, dan penumpang belakang kereta terbabit, Wan Hasni Kamaruddin, 31, manakala tujuh penumpang bas dan seorang lagi yang menaiki kereta itu cedera ringan.

Baseri yang patah kaki kanan kini dirawat di Hospital Kangar manakala Wan Hasni patah kaki kiri dan dirawat di Hospital Metro Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi ketika bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Perlis.

“Pemandu bas membrek kenderaannya bagi mengelak daripada merempuh kereta Proton Satria yang dikatakan rosak secara tiba-tiba di tengah jalan. Tetapi, usaha pemandu itu gagal dan bas berkenaan berpusing lalu terbalik ke kiri jalan selepas merempuh kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semua tujuh penumpang bas dan seorang penumpang kereta yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Seorang penumpang bas yang cedera, Azliana Abdul Ramli, 14, berkata dia dan lima rakannya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah, Johor Baharu menaiki bas ekspres itu untuk pulang ke kampung mereka di Perlis.

“Kami terjaga apabila bas terhoyong hayang dan saya nampak sebuah kereta berpusing sebelum bas terbalik,” katanya ketika ditemui di HSAH.

Kemalangan itu menyebabkan beliau dan dua rakannya, Izzati Farhani Ismail dan Nabilah Kamaruddin cedera ringan.

— BERNAMA


No comments:

Posting Terkini