KUCHING, 7 Nov-- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Jemaah Menteri bersetuju dengan penggubalan "Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan lagi agenda integriti negara.
Beliau, yang tiba di sini tengah hari selepas mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri berkata penubuhan SPRM nanti, bagi menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997, akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen dalam masa terdekat.
"Sesi Parlimen ini juga akan dilanjutkan sehingga 18 Disember untuk membolehkan rang undang-undang tersebut dibahaskan dan apabila diluluskan, ia akan menjadi asas kepada pembentukan sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang lebih berkesan dan tertakluk kepada pemantauan luar melalui satu sistem "check and balance" yang komprehensif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Integriti Nasional dan Konvensyen Integriti Nasional 2008 bertema "Integriti Pemangkin Pembangunan Mapan", yang juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-45 Sarawak maju dalam Malaysia.
Sebagai salah satu langkah bagi penambahbaikan dan penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdullah berkata, segala usaha telah diambil untuk memastikan agar SPRM, yang bakal diwujudkan benar-benar berkesan dan mampu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.
SPRM, yang dimodelkan berdasarkan kepada agensi-agensi anti-rasuah diiktiraf sebagai antara terbaik di dunia, umpamanya Independent Commission On Anti-Corruption (ICAC) di Hong Kong dan Independent Commission Against Corruption di Australia, akan disokong oleh beberapa mekanisme "check and balance" agar dilihat lebih berakauntabiliti, telus dan berkesan dalam pelaksanaan tugasnya, katanya.
Abdullah berkata Lembaga Penasihat suruhanjaya itu akan dianggotai oleh individu-individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dari kalangan mereka yang telah menunjukkan khidmat bakti terpuji dan berintegriti manakala Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah akan terdiri dari kalangan anggota-anggota Parlimen untuk menerima dan meneliti laporan tahun, yang wajib dikemukakan oleh suruhanjaya.
Bagi memantapkan struktur suruhanjaya tersebut, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan cadangan pembentukan dua buah panel lagi - Panel Penilaian Operasi, yang akan memastikan tindakan dan keputusan siasatan yang dibuatnya manakala Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah akan membantu usaha bagi mendidik orang ramai menentang rasuah, katanya.
Menurut Abdullah, Jemaah Menteri turut menimbang supaya SPRM dibenarkan untuk mengendalikan urusan-urusan perkhidmatan, khususnya yang melibatkan proses lantikan dan penamatan perkhidmatan pegawainya.
Mengenai rasuah, beliau berkata beberapa kajian dan pembancian mengenai isu tersebut baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa rakyat menyokong kuat agenda integriti dan anti-rasuah negara dan mahu melihat tindakan tegas dan pantas ke arah pemantapan institusi anti-rasuah serta kerangka perundangan yang berkaitan.
Menurut Abdullah, statistik terkini menunjukkan bahawa bilangan siasatan yang telah diadakan oleh BPR meningkat sebanyak dua kail ganda antara 2001 dan 2007 manakala bilangan tangkapan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 54 peratus dalam tempoh yang sama.
"Lebih membanggakan, pemantapan dari segi penyiasatan dan pendakwaan telah membolehkan lebih banyak kes rasuah disabit kesalahan dan kini kesabitan kesalahan telah meningkat kepada 78 peratus bagi tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus dalam tempoh hanya lima tahun," katanya.
Beliau berkata ternyata bahawa integriti negara sedang bergerak dan semakin berjaya namun mungkin ia tidak sepantas yang diharapkan oleh rakyat dan ini seterusnya menyumbang kepada beberapa persepsi negatif.
"Kita harus sedar bahawa proses menbangunkan masyarakat yang berintegriti, yang menolak budaya rasuah, sebenarnya memakan masa yang lama," katanya sambil merujuk kepada pengalaman negara lain, yang menunjukkan bahawa tindakan tegas untuk memerangi rasuah sering kali diiringi oleh persepsi menurun sebelum ianya bertambah baik.
"Ini adalah kerana fokus kerajaan dan pihak media bertumpu kepada isu rasuah, maka ia menjadi perhatian rakyat juga. Ini adalah satu hakikat yang perlu kita terima, tanpa perasaan ingin berputus asa atau bersikap sinis," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment