KUCHING, 7 Nov - Raja-raja tidak harus memberi perkenan jika nasihat pimpinan kerajaan yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
"Secara umum Raja bertindak berasaskan nasihat pemimpin kerajaan pilihan rakyat. Namun, Raja tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak melambangkan keadilan atau merestui tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.
"Pandangan, pemerhatian dan teguran Raja dalam urus tadbir negara menyentuh soal integriti, yang merangkumi keadilan, perundangan, kehakiman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan agihan kemakmuran, adalah dengan hasrat untuk memperteguh kerajaan agar ia stabil dan mendapat kepercayaan rakyat," titah baginda pada majlis santapan sempena Hari Integriti Nasional di sini Khamis malam.
Untuk memastikan integriti Raja tidak dipersoalkan dan takhta kekal dihormati, Raja Nazrin bertitah Raja-raja harus senantiasa bijaksana lagi arif, menguasai pengetahuan, memahami persekitaran dan perubahan serta memiliki barisan kumpulan penasihat terdiri dari pakar-pakar serta ilmuwan dalam bidang-bidang yang relevan.
"Ini akan membolehkan Raja memenuhi peranan secara berintegriti dan dapat melakukan keputusan yang bijak, tepat, adil lagi saksama," titah baginda.
Baginda bertitah Raja adalah sebahagian dari institusi negara yang berperanan positif memperkukuhkan sistem demokrasi dengan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang serta berfungsi sebagai penimbang tara yang bebas bagi cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Sebagai sumber rujukan ketika berlakunya krisis, baginda bertitah Raja berfungsi sebagai mekanisme pengimbang memelihara kestabilan negara, melindungi kebajikan warga, memastikan keadilan, meningkatkan integriti kerajaan dan memperkukuh amalan demokrasi dalam negara.
"Raja berperanan sebagai tunggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa.
"Raja bertanggungjawab secara perlembagaan dan tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan dengan bijaksana agar dapat membantu membina sebuah negara yang berintegriti tinggi," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah institusi Raja harus berperanan dan berfungsi untuk memberi sumbangan produktif, konstruktif kepada negara bangsa.
"Raja berada di tempat istimewa, berpeluang memberikan pandangan bernas untuk mempengaruhi dan menentukan arah haluan negara bangsa secara positif dan konstruktif melalui kata-kata nasihat dan pandangan, galakan, dorongan, peringatan dan teguran," titah baginda.
Untuk memperkukuhkan amalan berintegriti, Raja Nazrin bertitah Raja-raja perlu melakukan konsultasi, mengadakan rundingan, mendapatkan pandangan dan berfikiran terbuka untuk menilai setiap nasihat secara rasional, objektif, adil dan saksama.
Raja Nazrin turut menitahkan warga disemai dengan jati diri yang sejati.
"Untuk membina warga yang berintegriti, warga perlu dipertajam minda supaya dapat menilai antara intan dan kaca dan memiliki kekuatan dalaman yang cekal setia dan kekal taat kepada prinsip-prinsip utama perjuangan dan kehidupan," titah baginda.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment