Pages

Friday, November 14, 2008

Ops Warta 7 Buru Pesalah Trafik Degil Bermula Isnin Ini

KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Polis sekali lagi memburu 96,000 pesalah trafik yang dikenakan waran tangkap tetapi tidak mengendahkan waran tersebut, dalam Ops Warta 7 yang bermula Isnin ini.

Seperti lazimnya, gerakan memburu mereka yang degil menjelaskan saman itu akan dilancarkan dari rumah ke rumah dan pejabat ke pejabat, di semua peringkat daerah dan kontinjen.

Ketua Trafik Pasukan Persekutuan SAC II Abdul Aziz Yusof berkata operasi kali ini hanya akan mengambil masa sebulan iaitu bermula Isnin ini hingga 16 Dis depan.

Beliau berkata sasaran operasi kali ini adalah kepada pesalah trafik yang gagal menjelaskan saman sekaligus menerima waran tangkap pada 1 Mei 2008 hingga 31 Okt 2008.

"Kita tidak mahu operasi kali ini dijalankan sebegitu lama bagaimanapun operasi ini akan berterusan dan dipertingkatkan dua kali ganda bagi memburu pesalah-pesalah trafik yang ingkar.

"Mereka ini dikenakan waran tangkap kerana tidak mengendahkan notis saman. Kita jangka dengan operasi ini dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 35 peratus daripada waran tangkap yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata polis tidak akan berkompromi dan memberi muka kepada mereka yang masih berdegil kerana tempoh tertentu telah diberikan.

Beliau berkata pesalah trafik yang 'menyerah diri' sekarang daripada menunggu sehingga waran dikemukakan kepada mereka dapat mengelakkan diri dari ditangkap pihak berkuasa.

"Saya menyeru kepada pengingkar dan pesalah trafik agar membayar saman dengan segera bagi mengelakkan ditahan polis kerana jika mereka ditangkap maka sudah terlambat kerana tindakan mahkamah yang menanti kelak," katanya.

Beliau berkata orang ramai kini tidak perlu lagi membuat rayuan untuk mengurangkan jumlah saman trafik berikutan kaedah memberi diskaun saman secara automatik telah dipakai.

"Sekarang kita sudah menggunakan sistem automatik iaitu sekiranya saman dibayar kurang dari sebulan dari tempoh saman dikeluarkan, secara automatik sebanyak 50 peratus diskaun diberikan.

"Bagi yang lambat membayarnya, mereka perlu akur untuk membayar dalam jumlah penuh dan sekiranya mereka tetap ingkar, dalam dua bulan waran tangkap akan dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 4,000 pegawai dan anggota trafik terlibat bagi mengesan dan menjalankan tangkapan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan waran dalam Ops Warta ini di seluruh negara.

Katanya polis juga tidak akan teragak-agak menahan mereka yang ingkar ini di jalan raya terutamanya ketika mereka melalui pemeriksaan sekatan jalan.

"Kita juga mengingatkan penerima notis pemberitahuan saman supaya segera menjawab atau terus menyelesaikan saman lalu lintas di mana-mana kaunter trafik sebelum waran tangkap dikeluarkan kepada mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini